ADS
mk-logo
Berita
Ustaz lawan ustaz: Yang Dipertua PAS Tapah calon PN di Ayer Kuning

PN mengumumkan Yang Dipertua PAS Tapah Abdul Muhaimin Malek sebagai calon gabungan itu dalam PRK Ayer Kuning yang akan diadakan tak lama lagi.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man mengumumkan perkara itu malam ini, di acara yang dihadiri pimpinan tertinggi PN peringkat nasional dan juga negeri.

“Calon yang kita umumkan telah diterima sebulat suara. Bagi pihak PAS, saya merakamkan penghargaan kepada semua pimpinan parti komponen.

“PN bersetuju untuk menamakan calon anak tempatan (dari Tapah) dalam PRK ini,” kata Tuan Ibrahim, yang memperkenalkan Muhaimin sebagai calon muda dan seorang “ustaz” lulusan Institut Al Fatah Al-Islamy di Syria.

ADS

Abdul Muhaimin, 43, adalah pengetua Madrasah Tahfiz Al-Quran Ayer Kuning dan juga merupakan ahli Persatuan Maahad Tahfiz Al-Quran Perak.

Abdul Muhaimin Malek

Dalam dunia politik, Abdul Muhaimin telah memegang pelbagai jawatan dalam parti, termasuk Timbalan Yang Dipertua PAS Tapah, Ketua Pemuda PAS Tapah, Yang Dipertua PAS Tapah, dan kini juga sebagai Pengerusi PN Tapah.

Dalam ucapan ringkas selepas namanya diumumkan, Abdul Muhaimin menyifatkan pencalonannya sebagai satu tanggungjawab besar yang sedia digalasnya dengan bantuan serta kerjasama penyokong.

Dengan pengumuman Tuan Ibrahim malam ini, PRK Ayer Kuning akan menyaksikan persaingan antara dua “ustaz” dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS.

ADS

Terdahulu, BN menamakan Setiausaha Umno Tapah Yusri Bakir, yang juga seorang ustaz, sebagai calon mereka.

Yusri Bakir

PRK Ayer Kuning diadakan susulan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin, 59, pada 22 Februari lalu. Allahyarham merupakan bekas Ketua Umno Tapah.

Pada PRU15, Ishsam menang di kerusi tersebut dengan majoriti 2,213 undi dalam pertandingan lima penjuru.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 12 April sebagai hari penamaan calon, manakala hari pengundian ditetapkan pada 26 April dan pengundian awal pada 22 April.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS