Pengeluaran produk roti jenama Massimo terjejas susulan insiden kebakaran paip gas yang berlaku pada 1 April lalu di Putra Heights, Subang Jaya.
Pengeluar produk tersebut, The Italian Baker Sdn Bhd, memaklumkan kejadian itu menyebabkan gangguan sementara kepada bekalan gas asli cecair (LNG) ke kilang mereka.
Sementara menunggu kerja-kerja pemulihan dilaksanakan, syarikat itu menjangkakan bekalan produk bakeri Massimo di kedai-kedai akan terhad bermula esok, sehingga diberitahu kelak.
“Kami amat menghargai sokongan anda dan memohon maaf atas segala kesulitan yang mungkin timbul,” kata syarikat itu pada satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, perkembangan lanjut mengenai situasi ini akan dikemas kini menerusi media sosial rasmi roti Massimo dari semasa ke semasa.
Sebelum ini, Gas Malaysia Bhd telah melaksanakan pengurangan bekalan gas di beberapa kawasan termasuk Shah Alam, Petaling Jaya, Teluk Panglima Garang dan Pelabuhan Klang.
Kebakaran yang berlaku pada jam 8.10 pagi, 1 April itu menyebabkan kemusnahan besar terhadap harta benda termasuk kenderaan dan rumah dalam radius 500 meter dari lokasi kejadian.
Insiden tersebut turut melibatkan letusan api besar, haba melampau dan serpihan terbang, mengakibatkan lebih 500 orang kehilangan tempat tinggal dan lebih 100 individu cedera.