ADS
mk-logo
Berita
Pemuda Bersatu Sabah persoal Armizan masih pengarah syarikat
Diterbitkan:  Apr 3, 2025 4:48 PM
Dikemaskini: 9:07 AM

Pemuda Bersatu (Armada) Sabah membangkitkan persoalan mengenai kedudukan Ahli Parlimen Papar, Armizan Mohd Ali di Dewan Rakyat serta peranannya sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Perkara ini timbul selepas semakan mendapati dia didakwa masih memegang jawatan pengarah dalam sebuah syarikat.

Ketua Armada Sabah, Hisyam Hazaril Azman berkata Perlembagaan Persekutuan dengan jelas melarang mana-mana anggota pentadbiran daripada terlibat dalam perniagaan secara serentak.

Menurut Hisyam, pengakuan Armizan bahawa dia sebelum ini memegang jawatan dalam lembaga pengarah anak syarikat negeri, Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM), menimbulkan konflik kepentingan memandangkan ketika itu Armizan juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas).

ADS

“Belum terjawab isu konflik kepentingan ini terkini, semakan rekod di Suruhanjaya Syarikat Malaysia sehingga 1 April 2025 mendapati bahawa beliau juga adalah pengarah dalam syarikat Common Tower Technology Sdn. Bhd. (common Tech) yang dilantik mulai 1 Februari 2023.

"Rakyat pada masa ini tertanya-tanya adakah Datuk Armizan Mohd Ali sebagai Menteri Persekutuan tidak tertakluk kepada Kod Etika Anggota Pentadbiran dan Ahli Parlimen yang dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri sehingga beliau boleh memegang dua jawatan pengarah dalam syarikat perniagaan,” katanya pada satu kenyataan.

Hisyam berkata kod etika berkenaan dengan jelas menyatakan anggota kabinet dilarang terlibat dalam aktiviti perniagaan kerana boleh menimbulkan konflik kepentingan.

Dakwanya Armizan juga telah melanggar Perkara 48(1)(c) Perlembagaan Persekutuan.

ADS

“Secara umum, kedua-dua peruntukan (perlembagaan) ini menyatakan bahawa seseorang ahli Parlimen hilang kelayakan sekiranya memegang jawatan yang memberi keuntungan.

“Jika jawatan pengarah itu sememangnya merupakan jawatan yang memberi keuntungan (kepada Armizan), maka Dewan Rakyat perlu membuat keputusan berdasarkan Perkara 53(1) Perlembagaan Persekutuan.

“Semua persoalan ini perlu dijawab oleh Armizan kerana ia melibatkan integriti beliau sebagai anggota kabinet,” kata Hisyam.

Perkara 53(1) Perlembagaan Persekutuan Malaysia merujuk kepada pengisytiharan kekosongan kerusi parlimen yang diputuskan Dewan Rakyat, apabila seseorang ahli parlimen didapati tidak layak untuk terus memegang jawatan tersebut.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS