Usahawan bilionair Amerika Syarikat, Elon Musk mengumumkan bahawa syarikat neuroteknologi miliknya, Neuralink, merancang untuk melakukan implan pertama cip otak Blindsight pada manusia bagi membantu individu yang mengalami masalah penglihatan menjelang akhir 2025, lapor Sputnik/RIA Novosti.
“Kami berharap dapat melakukan implan pertama pada manusia yang mengalami buta sepenuhnya untuk membolehkan mereka melihat, selewat-lewatnya hujung tahun ini,” kata Musk dalam satu acara di Wisconsin pada Ahad malam.
Menurutnya, kualiti penglihatan yang diperoleh pada peringkat awal mungkin rendah, tetapi akhirnya implan itu dijangka membolehkan seseorang melihat dengan keupayaan luar biasa.
Pada Januari 2024, Musk mengumumkan bahawa Neuralink berjaya melakukan implan peranti otak buat kali pertama dalam tubuh manusia.
- Bernama-Sputnik/RIA Novosti