ADS
mk-logo
Berita
Tengku Arif Bendahara sampaikan kurniaan Sultan Pahang pada Abang Belon
Diterbitkan:  Mar 30, 2025 5:59 PM
Dikemaskini: 10:47 AM

Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru peniaga dan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini bertanggungjawab dalam menjalankan peranan masing-masing.

Al-Sultan Abdullah bertitah peniaga di Pahang perlu mempunyai lesen dan mematuhi undang-undang ditetapkan, manakala penguat kuasa pula perlu berhemah dalam segala tindakan yang diambil iaitu menggunakan budi bicara tanpa melibatkan sebarang kerosakan mahupun kecederaan.

"Dalam keghairahan untuk menyambut lebaran pastinya peniaga mengambil kesempatan untuk melipatgandakan sumber pendapatan dengan menawarkan barang niaga yang menarik perhatian pembeli.

"Apa jua bentuk urus niaga yang dijalankan perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah disediakan antaranya peniaga perlu memohon lesen atau permit perniagaan.

ADS

"PBT pula perlu menyediakan tempat yang khusus dan selamat untuk semua pihak," titah baginda yang dimuat naik di laman Facebook Kesultanan Pahang.

Baginda bertitah sekiranya berlaku sesuatu isu atau permasalahan, ia perlu diselesaikan dengan cara yang paling wajar serta tidak melibatkan sebarang kekecohan apatah lagi kecederaan.

Sementara itu, Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Al-Sultan Abdullah berkesempatan meluangkan masa menziarahi peniaga belon Muhammad Zaimuddin Azlan yang terlibat dalam insiden dengan penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada Jumaat.

Simpati dengan keadaan menimpa pemuda dari Jerantut itu, Tengku Muhammad yang tiba pada pukul 12.30 tengah hari tadi turut bertanya keadaan kesihatan peniaga berkenaan dan menyampaikan kurniaan peribadi Sultan Pahang kepadanya.

Muhammad Zaimuddin yang lebih dikenali sebagai 'Abang Belon', kini dirawat di Hospital Serdang, Selangor akibat kecederaan selepas insiden berkenaan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS