ADS
mk-logo
Berita
Polis siasat laporan ibu Abang Belon, penguat kuasa DBKL
Diterbitkan:  Mar 30, 2025 5:51 PM
Dikemaskini: Mar 31, 2025 9:18 AM

Polis sedang menjalankan siasatan terhadap tiga laporan berkaitan satu kejadian antara seorang peniaga jalanan dan anggota penguat kuasa DBKL, termasuk dakwaan menghalang tugas, ugutan dan menyebabkan kecederaan parah.

"Pihak polis mengesahkan telah menerima (3) laporan polis berkaitan kes kekecohan penyitaan barangan penjaja belon di tepi Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)," kata Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Azry Akmar Ayob pada satu kenyataan hari ini.

Azry menggesa orang ramai supaya tidak membuat andaian berhubung kes ini agar tidak mengganggu siasatan yang sedang dijalankan.

Katanya, laporan polis pertama dibuat oleh seorang pegawai penguat kuasa DBKL pada jam 11.48 pagi semalam.

"Satu kertas siasatan telah dibuka dibawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menggalang penjawat awam semasa menjalankan tugas," jelasnya.

ADS

Pada jam 3.34 petang hari yang sama, seorang lagi pegawai penguat kuasa DBKL membuat laporan polis selepas gambar dirinya tersebar di Facebook bersama ugutan yang diterima.

Kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana kenyataan yang boleh menyebabkan khianat awam, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penyalahgunaan kemudahan rangkaian.

"Laporan Polis Ketiga yang diterima pada 30 Mac 2025, jam 12.04 pagi yang telah dibuat oleh ibu kepada mangsa (penjual belon) menyatakan bahawa mangsa telah mengalami kecederaan akibat pergelutan yang berlaku dan kini sedang mendapatkan rawatan di sebuah Hospital Kerajaan di Serdang Selangor.

ADS

"Pihak polis telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan (dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah)," katanya.

Azry turut menggesa mana-mana individu yang mempunyai maklumat berhubung kes ini untuk menghubungi talian hotline polis Kuala Lumpur di 03-2115 9999 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran.

Terdahulu hari ini, Datuk Bandar Kuala Lumpur Dr Maimunah Mohd Sharif memaklumkan tiga anggota penguat kuasa DBKL yang terlibat dalam insiden dengan penjaja belon itu direhatkan sementara daripada tugas.

Tindakan itu, katanya diambil bagi memberi laluan kepada siasatan dalaman DBKL serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar ia dapat dijalankan secara bebas, telus, dan menyeluruh tanpa sebarang campur tangan.

Sebelum ini, DBKL mendakwa rondaan penguat kuasa telah menemui peniaga tersebut di Jalan Tuanku Abdul Rahman dan mengeluarkan amaran kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen.

Menurut kenyataan DBKL, peniaga itu enggan mematuhi arahan dan terus berniaga walaupun telah diberikan dua amaran lisan, serta menjadi agresif dan menolak seorang pegawai penguat kuasa ketika diberi amaran ketiga.

"Bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih tegang dan menghalang kemungkinan insiden yang lebih serius, anggota penguat kuasa berpakaian preman bertindak pantas untuk menenangkan dan memisahkan penjaja terbabit daripada terus mengasari petugas penguat kuasa,” dakwa DBKL.

Bagaimanapun, insiden ini telah mencetuskan kritikan meluas terhadap cara DBKL mengendalikan kejadian itu.

Za’imuddin, yang mendakwa mengalami patah tulang pula menafikan dia pernah beberapa kali diusir oleh pihak DBKL sebelum ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS