ADS
mk-logo
Berita
Chegubard, peguam Pejuang dakwa dihalang temui Abang Belon
Diterbitkan:  Mar 30, 2025 5:26 PM
Dikemaskini: 9:26 AM

Ketua bahagian Bersatu, Badrul Hisham Shaharin dan peguam Parti Pejuang, Muhammad Rafique Rashid Ali mendakwa mereka telah dihalang oleh pihak polis daripada melawat penjual belon, Za’imuddin Azlan.

Badrul, yang lebih dikenali sebagai Chegubard berkata perkara itu berlaku walaupun mereka telah dijemput oleh keluarga Za’imuddin untuk melawatnya di hospital.

"Bila kami sampai (di wad). Kami dihalang masuk oleh kakitangan hospital.

"Katanya arahan Polis Diraja Malaysia ( Royal Malaysia Police ) supaya kami tidak dibenar berjumpa mangsa (Za’imuddin),” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

ADS

Malaysiakini telah menghubungi pihak polis dan hospital untuk mendapatkan maklum balas.

Za’imuddin, yang dikenali sebagai “Abang Belon” di media sosial, telah dimasukkan ke hospital selepas berlaku pertengkaran dengan pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Jalan Tuanku Abdul Rahman pada 28 Mac lalu.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Maimunah Mohd Sharif hari ini berkata DBKL telah menggantung tugas tiga pegawai yang terlibat dalam insiden tersebut.

Dia turut memaklumkan DBKL sedang mempertimbangkan untuk menanggung kos rawatan perubatan Za’imuddin.

ADS

Sementara itu, Chegubard turut mendakwa Setiausaha Politik Perdana Menteri, Azman Abidin, dibenarkan masuk melawat di luar waktu lawatan.

Chegubard berkata dia dan Rafique tiba pada jam 11.30 pagi dan diminta menunggu sehingga waktu lawatan bermula pada jam 12.30 tengah hari, namun mereka tetap tidak dibenarkan masuk.

"Ibu dan bapa mangsa tampil ajak kami masuk. Pihak hospital halang juga.

"Malah pegawai hospital panggil dan cuba "convince" ibu mangsa jangan benarkan kami jumpa.

"Ibu bapa mangsa serba salah kerana dia mahu nasib anak diperjuangkan namun dia tak berani melawan pihak hospital kerana anaknya perlu rawatan,” katanya.

Katanya lagi, Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin telah menghubungi bapa Za’imuddin melalui panggilan telefon.

Chegubard juga mewakili Muhyiddin untuk menyalurkan bantuan kepada keluarga mangsa.

Selain itu, dia menyindir Pemuda Umno yang kononnya ingin mengambil tindakan undang-undang terhadap DBKL susulan insiden tersebut.

ADS

“Tapi yakinlah semua akan runding sebab lembaga penasihat (ahli majlis) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur terdiri dari ketua ketua bahagian Umno dan penuh lantikan politik regim. ,” katanya.

Sementara itu, satu video TikTok yang disiarkan oleh lidah rasmi PAS, Harakah Daily, Rafique berkata keluarga Za’imuddin mahu bertemu dengan seorang peguam bagi membincangkan situasi yang dihadapi.

"Semalam sebenarnya saya mendapat panggilan telefon. Keluarga nak jumpa dengan peguam. Jadi mereka nak jumpa peguam untuk explain (jelaskan) sebenarnya apa yang sedang berlaku dan apa mereka patut lakukan," katanya.

Dia menekankan mangsa mempunyai hak untuk mendapatkan peguam, dan hak ini dijamin oleh Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, tindakan undang-undang perlu diambil kerana pihak berkuasa penguatkuasa telah melampaui batas kuasa mereka dalam menangani Za’imuddin dua hari lalu.

Terdahulu, DBKL mendakwa insiden bermula apabila peniaga tanpa lesen tersebut menolak seorang pegawai penguatkuasa dan enggan beredar walaupun menghalang lalu lintas.

Pihak berkuasa bandaraya itu berkata pegawai mereka hanya cuba untuk menenangkan dan mengasingkan peniaga itu daripada terus menyerang penguatkuasa.

Insiden tersebut telah mencetuskan kritikan meluas terhadap cara DBKL menangani situasi itu, termasuk dari pihak kerajaan, pembangkang serta Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin, yang menyeru agar pihak terbabit perlu bertanggungjawab.]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS