ADS
mk-logo
Berita
Hadap tiap hari, sepatutnya respons DBKL lebih bijak - Takiyuddin
Diterbitkan:  Mar 30, 2025 10:25 AM
Dikemaskini: 2:26 AM

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sepatutnya lebih bijak menguruskan penjaja tidak berlesen memandangkan mereka berdepan dengan isu seperti itu hampir setiap hari, kata Takiyuddin Hassan.

“Sebagai badan penguat kuasa yang berdepan dengan isu seperti ini hampir setiap hari, DBKL sepatutnya sudah bersedia dengan respons yang lebih bijak, praktis, kreatif dan bebas konflik, terutama dalam kes pelanggaran kecil undang-undang,” kata Ketua Whip Anggota Parlimen Perikatan Nasional (PN).

Katanya,  PN tidak mempersoalkan keperluan peraturan dan undang-undang bagi mengatur kehidupan bermasyarakat, apatah lagi di bandar raya sesak seperti Kuala Lumpur. 

Namun, katanya, pelaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang hendaklah dilakukan dengan berhemah, manusiawi, tidak dilihat menindas mana-mana pihak dan tidak melampau, terutama rakyat biasa. 

ADS

“Tindakan yang berlebih-lebihan, tidak profesional atau tidak berpadanan dengan kesalahan tidak boleh diterima sama sekali,” katanya yang juga setiausaha agung PAS.

Terdahulu tular video pergelutan penjaja itu dan pegawai DBKL di tepi jalan di ibu negara. Suasana kecoh dengan kemarahan peniaga lain serta orang ramai yang lalu-lalang.

DBKL mendakwa insiden bermula apabila penjaja belon itu menolak penguat kuasa dan tidak mengendahkan arahan beredar kerana mengganggu lalu-lintas.

DBKL mendakwa penguatkuasanya cuma mahu “menenangkan dan memisahkan penjaja terbabit daripada terus mengasari petugas penguat kuasa”.

ADS

Penjaja yang sedang dirawat di Hospital Serdang itu menafikan dia telah dihalau beberapa kali sebelum tindakan diambil.

Dalam kenyataan pagi ini, Takiyuddin berkata dasar dan pendekatan penguatkuasaan perlu diteliti secara berterusan bagi memastikan peniaga kecil diberi ruang berniaga secara tertib berlandaskan undang-undang yang lebih responsif terhadap keadaan setempat dan semasa.

Dia senada dengan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin bahawa pemberian lesen, selain berpandangan variasi tempoh atau lokasi boleh diteroka.

Begitu juga dengan pengenalan fi tertentu atau saman secara terus di tapak kerana ketegangan hanya meninggalkan rasa tidak selesa dan masalah juga tidak selesai.

“Penguatkuasaan undang-undang harus menggambarkan dasar kerajaan yang membela dan melindungi rakyat bawahan yang mencari rezeki melalui perniagaan kecil-kecilan bagi menampung kehidupan, bukannya dilihat mengutamakan golongan atasan atau berkedudukan tertentu.”

“PN akan terus memantau kes ini dan kes-kes lain yang seumpamanya serta bersedia membantu pihak-pihak yang terkesan untuk mendapatkan keadilan dan pembelaan sewajarnya jika diperlukan,” katanya.

Pelbagai pihak tampil mengecam pengendalian DBKL itu termasuk pemimpin politik kerajaan dan pembangkang serta Mufti Perlis Asri Zainul Abidin.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS