ADS
mk-logo
Berita
Orang Asli Pahang dapat tanah dalam penyelesaian dengan syarikat sawit

Sekumpulan Orang Asli yang tinggal di dalam dan sekitar hutan simpan Bukit Ibam di Rompin, Pahang, memperoleh 728.43 hektar tanah daripada sebuah syarikat perladangan kelapa sawit yang didakwa menceroboh tanah adat mereka sebelum ini.

YP Olio Sdn Bhd juga perlu membayar elaun bulanan sebanyak RM700 selama 20 tahun kepada enam daripada tujuh plaintif daripada etnik Temoq yang telah memfailkan tindakan undang-undang terhadap syarikat itu serta beberapa defendan lain pada tahun 2022.

Menurut penghakiman persetujuan yang direkodkan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuantan, Mohd Radzi Harun pada 27 Mac, syarikat tersebut mesti mula membayar elaun tersebut dalam tempoh tiga tahun.

Selain itu, syarikat itu juga diwajibkan membayar sebanyak RM80,000 kepada setiap enam plaintif, yang sebelum ini mendakwa bahawa YP Olio telah menceroboh tanah adat mereka ketika menjalankan aktiviti pembersihan tanah sejak tahun 2018.

Mereka juga menamakan kerajaan negeri Pahang, kerajaan persekutuan, Jabatan Alam Sekitar (DOE), Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), serta enam pihak lain sebagai defendan dalam saman yang difailkan melalui firma guaman Messrs AmerBON.

ADS

Daripada tujuh plaintif dari Kampung Berengoi-Mesau – Omar Rani, Rani Jinal, Rosman Rani, Lina Lehoi, Suhami Suhin, Maarof Abdullah, dan Sani Kotiz – hanya Lina yang tidak termasuk dalam penyelesaian kewangan tersebut.

Selain itu, YP Olio dilarang menjalankan sebarang kerja atau aktiviti dalam lingkungan 100 meter di sekitar kawasan rizab sehingga proses penandaan sempadan kawasan tersebut selesai.

Syarikat itu juga dihalang daripada memulakan sebarang kerja di kawasan rizab, manakala pihak plaintif pula tidak dibenarkan menghalang atau mengganggu sebarang kerja yang dijalankan oleh syarikat di tanah miliknya.

ADS

Penghakiman persetujuan itu turut menyatakan bahawa plaintif akan menarik balik permohonan semakan kehakiman mereka yang difailkan pada Mac 2023 terhadap keputusan kerajaan untuk meluluskan penilaian kesan alam sekitar (EIA) syarikat bagi projek perladangan kelapa sawit di kawasan pertikaian, tanpa kebebasan untuk memfailkan semula atau perintah kos.

Sebelum ini, RimbaWatch menggesa DOE supaya menarik balik kelulusan laporan EIA bagi projek perladangan kelapa sawit tersebut, dengan memberi amaran mengenai pelbagai isu alam sekitar dan sosial yang bakal timbul sekiranya projek itu diteruskan.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS