Pertandingan peringkat cabang dalam pemilihan PKR akan datang dijangka menyaksikan persaingan melibatkan menteri, serta ahli parlimen dan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun).
Ini termasuk pegawai khas kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, serta ahli politik muda dan aktivis parti yang sedang meningkat naik.
Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh, berkata, senarai akhir yang pada awalnya dijadualkan diumumkan semalam, seperti yang dinyatakan dalam laman web pemilihan parti, telah dimuktmadkan selepas proses bantahan dan rayuan selesai antara 20 hingga 25 Mac.
Namun, sehingga berita ini diterbitkan, senarai penuh masih belum didedahkan.
Bagi calon yang bertanding, Malaysiakini dimaklumkan bahawa Setiausaha Politik Kanan Anwar, Shamsul Iskandar Md Akin, dijangka sekali lagi mencabar penyandang Ketua Cabang Hang Tuah Jaya, Mohd Rafee Ibrahim, yang juga Pengerusi PKR Melaka.
Sementara itu, Setiausaha Politik Anwar, Chan Ming Kai, dijangka menghadapi pertandingan tiga penjuru bagi jawatan Ketua Cabang Alor Setar, manakala seorang lagi Setiausaha Politiknya, Ahmad Farhan Fauzi, menang tanpa bertanding sebagai Ketua Cabang Indera Mahkota.
Menteri yang dijangka berdepan cabaran ialah Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli (Pandan); dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam , Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa).
Fadhlina akan dicabar bagi jawatan ketua cabang Nibong Tebal. Selain itu, dia juga akan dicabar Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail, bagi jawatan Ketua Wanita PKR.
Di Setiawangsa, Nik Nazmi dijangka sekali lagi berdepan pengarah yang juga pelakon, Afdlin Shauki Aksan, yang pada pemilihan 2022 mendakwa kekalahannya berpunca daripada ketidaktelusan proses pemilihan parti.
Sementara itu, difahamkan bahawa Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang, sekali lagi menang tanpa bertanding bagi jawatan Ketua Cabang Tanjong Malim.
Bagi timbalan menteri pula, Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir, dijangka mempertahankan jawatan Ketua Cabang Johor Bahru menentang pencabarnya, Ketua AMK Johor, Taufiq Ismail.
Sebelum ini, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, R Ramanan, mengumumkan bahawa dia menang tanpa bertanding bagi jawatan ketua cabang Sungai Buloh.
Di Johor, Malaysiakini difahamkan bahawa ketua cabang Tebrau, yang juga Ahli Parlimen Segamat, R Yuneswaran, dijangka berdepan pertandingan tiga penjuru dengan Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah, yang kini mengetuai cabang Pulai, serta seorang lagi calon, Prakash Maniam.
Di Negeri Sembilan, Menteri Besar, Aminuddin Harun, yang pada pemilihan PKR 2022 menewaskan bekas ADUN Port Dickson, M Ravi, bagi jawatan ketua cabang Port Dickson, dijangka sekali lagi dicabar olehnya.
Di Selangor, Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail, yang mengetuai cabang PKR Shah Alam, dijangka dicabar oleh ADUN Kota Damansara, Najwan Halimi, serta seorang lagi calon, Noryzal Zainal Abidin.
Sementara itu, PKR cabang Ampang bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan dua Adun- penyandang Ketua cabang yang juga ADUN Lembah Jaya, Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad, serta Adun Bukit Antarabangsa, Kamri Kamaruddin - dan seorang ahli ekonomi, Azrul Azwar Ahmad Tajudin.
Di Wilayah Persekutuan, Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran, yang juga Ketua PKR Batu, akan dicabar oleh peguam-aktivis, Asheeq Ali Sethi Alivi. Manakala Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan, akan mencabar penyandang ketua cabang Wangsa Maju, Lai Chen Heng, bersama seorang lagi calon, Abdullah Talib.
Di utara, Malaysiakini dimaklumkan bahawa Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, yang juga Pergerusi PKR Pulau Pinang, berjaya mempertahankan jawatan ketua cabang Permatang Pauh tanpa bertanding. Dia juga bertanding bagi mempertahankan jawatan Naib Presiden PKR.
Begitu juga di Kedah, Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Taufiq Johari, mengekalkan jawatan ketua cabang Sungai Petani tanpa bertanding.
Di Perlis, Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad, yang juga pengerusi PKR Perlis, akan mempertahankan jawatan ketua cabang Kangar menentang Timbalan Pengerusi PKR negeri dan Adun Indera Kayangan, Gan Ay Ling.
Selepas pengumuman rasmi dibuat, semua calon peringkat cabang akan memulakan kempen sehingga jam 11.59 malam pada 10 April.
Dalam satu notis rasmi, PKR hari ini mengumumkan bahawa jawatankuasa pemilihan parti yang diketuai oleh Dr Zaliha Mustafa masih dalam proses menyelesaikan semua aduan dan isu berkaitan senarai calon.
“Oleh itu, tarikh pengumuman senarai calon rasmi di peringkat cabang telah dipindahkan ke 31 Mac,” menurut notis tersebut.
Fuziah sebelum ini menyatakan bahawa pemilihan jawatan di peringkat bahagian, termasuk sayap Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK), akan diadakan dari 11 hingga 20 April.
Ia akan disusuli dengan pemilihan Majlis Pimpinan Pusat serta sayap Wanita dan AMK di peringkat pusat pada 24 Mei.