ADS
mk-logo
Berita
Jangan pandang remeh tindakan ahli keluar parti - Bekas pemimpin MCA

Bekas naib presiden MCA, Ti Lian Ker, menggesa kepimpinan pusat parti itu agar tidak dilihat "lembap, lesu, dan bertangguh" dalam menangani isu tindakan ahli-ahlinya keluar parti.

Sebaliknya, Ti berkata MCA perlu dilihat proaktif dan bertindak awal untuk menghalang peningkatan bilangan ahli yang meninggalkan parti itu.

Ini terutamanya selepas bekas setiausaha agung Pemuda MCA, Leong Kim Soon, mengetuai sekumpulan ahli keluar daripada parti itu dan menyertai Bersatu pada 24 Mac lalu.

Ti menegaskan Leong tidak boleh dianggap sebagai tokoh kecil dalam MCA, dan gelombang penghijrahan ahli yang bermula di Johor kini merebak ke satu lagi kubu kuat BN, iaitu di Pahang.

ADS

"Tidak ada asap jika tiada api. Saya percaya parti mesti mengambil perkembangan ini secara serius dan bukannya berharap isu ini akan lenyap dengan sendirinya atau menganggapnya sebagai perkara kecil yang tidak memberi kesan," katanya dalam satu podcast berbahasa Cina dengan Malaysiakini pada Rabu.

Temu bual tersebut boleh ditonton di YouTube, Spotify dan Apple Podcasts.

Perancangan PN

Mengulas lanjut, Ti percaya "penghijrahan" ini adalah sebahagian daripada gerakan yang dirancang PN untuk melemahkan pengaruh BN di Johor dan Pahang.

ADS

Dia berkata perkara itu menunjukkan PN, terutamanya Bersatu, merupakan sebuah parti yang bergerak secara agresif berbanding MCA yang hanya menguruskan parti seperti biasa.

"Ramai ahli muda di peringkat akar umbi merasakan MCA tidak mempunyai hala tuju, kepimpinan tidak mengambil berat tentang mereka, atau mereka mempunyai hubungan yang tegang dengan pemimpin tempatan.

"Ambil contoh Leong – beliau pernah bertanding untuk jawatan ketua bahagian MCA Bentong tetapi kalah kepada Hoh Khai Mun dengan hanya lebih 20 undi.

"Jelas, beliau mempunyai pengaruh. Jika saya berada dalam Bersatu dan memerlukan ahli, saya akan mensasarkan kumpulan seperti ini untuk direkrut," kata Ti sambil menggesa kepimpinan tertinggi MCA untuk memandang serius isu itu.

"Saya menyeru kepimpinan untuk menjalankan bedah siasat dan menilai apa yang sebenarnya berlaku di peringkat akar umbi, bukannya mengelak tanggungjawab atau memperlekehkan isu ini seolah-olah ia tidak penting untuk dibincangkan.

"Itu bukan kepimpinan yang bertanggungjawab atau responsif," kata bekas senator dari Pahang itu.

‘Ahli berasa kecewa’

Ti percaya ramai ahli parti tidak puas hati dengan keadaan MCA ketika ini.

ADS

"Mereka merasakan kepimpinan harus memberikan hala tuju yang jelas dan berani membuat keputusan tegas. Kita dapat lihat bahawa Umno bekerjasama dengan baik bersama DAP dan PKR, manakala MCA seolah-olah dipinggirkan.

"Saya tidak berniat untuk mengkritik kepimpinan presiden (Wee Ka Siong), tetapi kebanyakan maklum balas yang saya terima menunjukkan ahli mahu melihat tindakan, respons, dan kepimpinan yang jelas.

"Mereka bertanya sama ada pemimpin MCA benar-benar menerajui parti atau sekadar berada dalam zon selesa," katanya.

Ti turut menekankan bahawa walaupun MCA sangat cekap dalam aspek pelaksanaan dan pentadbiran, kecekapan ini tidak diterjemahkan kepada keputusan politik yang diperlukan.

"Generasi muda hari ini mahukan tindakan. Mereka mahu MCA menjadi lebih ‘seksi’, tetapi mereka merasakan MCA tidak menarik – inilah masalah kita," katanya, sambil menambah kepimpinan parti perlu belajar daripada kesilapan lalu.

"Kita mempunyai keahlian lebih sejuta orang, tetapi berapa ramai daripada mereka yang benar-benar masih bersama MCA? Adakah mereka masih mengundi parti ini?"

‘Mentaliti Ah Q’

Pada 24 Mac lalu, Timbalan Presiden Bersatu, Hamzah Zainudin, yang menerima borang keahlian daripada Leong dan para penyokongnya, melantik Leong sebagai pengerusi sayap ahli bersekutu Bersatu di Bentong dan Pahang.

Hamzah dilaporkan berkata lebih ramai akan menyertai Bersatu dalam masa terdekat dan menyatakan keyakinan bahawa parti itu boleh memenangi kerusi parlimen Bentong dalam pilihan raya umum akan datang.

Dua hari kemudian, Ketua Pemuda MCA, Ling Tian Soon, dalam satu temu bual dengan Astro AEC, menyuarakan kekecewaan terhadap tindakan Leong tetapi menegaskan perkara itu harus dilihat sebagai sesuatu yang biasa.

"Parti kita adalah sebuah organisasi besar dengan lebih 1.04 juta ahli. Ada yang datang dan ada yang pergi. Insiden ini diperbesarkan, sebab itu ia menarik banyak perhatian," kata ahli majlis eksekutif MCA Johor itu.

Sebagai respons, Ti menyamakan hujah tersebut dengan "mentaliti Ah Q", merujuk kepada cara pemikiran untuk menyedapkan hati sendiri bagi mengelak berdepan realiti.

"Saya tidak memanggil beliau ‘Ah Q’, tetapi saya fikir hujah seperti ini sangat selari dengan mentaliti ‘Ah Q’ – kerana ia adalah satu usaha untuk mengelak daripada menghadapi isu sebenar," katanya dengan nada kesal.

Mentaliti "Ah Q" diambil daripada novel satira terkenal "The True Story of Ah Q" oleh penulis Cina, Lu Xun.

Watak utama, Ah Q, terkenal dengan tabiatnya yang merasionalkan kegagalan sebagai kemenangan, dengan menipu diri sendiri untuk merasa diri kekal hebat.

Lama-kelamaan, istilah ini digunakan untuk menggambarkan sikap yang enggan mengakui kegagalan atau masalah, sebaliknya mencari keselesaan dalam kejayaan yang bersifat ilusi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS