ADS
mk-logo
Berita
Tindakan tegas ke atas pemadu BAS.MY Melaka bermasalah
Diterbitkan:  Mar 29, 2025 11:00 AM
Dikemaskini: 3:00 AM

Tindakan tegas termasuk dihentikan kerja akan dikenakan ke atas pemandu Program Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-henti (SBST), BAS.MY Melaka yang dikenal pasti bermasalah dan kerap melanggar peraturan serta undang-undang jalan raya.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan Melaka Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata pihaknya banyak menerima aduan daripada orang awam serta penumpang, berkaitan sikap pemandu bas berkenaan yang memandu secara tidak berhemah sehingga membahayakan pengguna jalan raya lain.

Beliau berkata pemandu bas bermasalah itu juga dilaporkan tidak berhenti di perhentian bas yang ditetapkan sehingga menyebabkan kemalangan dan merisikokan keselamatan penumpang.

“Pemilihan pemandu bas berkenaan melibatkan tapisan ketat termasuk dari aspek latar belakang dan rekod saman. Berdasarkan rekod yang saya terima sebelum ini juga, semua pemandu bebas daripada penyalahgunaan dadah.

“Bagaimanapun, satu perjumpaan akan diadakan dengan semua pemandu BAS.MY Melaka selepas hari raya ini dan kita juga akan mengenal pasti pemandu yang bermasalah untuk tindakan sewajarnya, kerana tiada berkompromi dalam aspek keselamatan kerana ia melibatkan nyawa penumpang serta pengguna jalan raya lain,” katanya kepada pemberita di Alor Gajah malam tadi.

ADS

Beliau berkata demikian selepas Majlis Berbuka Puasa ‘Poghut’ Ayer Limau melibatkan hampir 1,000 penduduk setempat dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan.

Hameed berkata sehingga kini, terdapat hampir 60 pemandu BAS.MY Melaka dengan lebih 40 bas yang beroperasi bagi memberikan perkhidmatan bas henti-henti di negeri itu.

BAS.MY Melaka dilancarkan Oktober tahun lepas dengan peruntukan berjumlah RM83.76 juta yang disalurkan kerajaan Persekutuan, dalam usaha memberikan perkhidmatan sistem pengangkutan awam terbaik kepada rakyat.

ADS

Perkhidmatan berkenaan menggantikan operasi bas henti-henti yang disediakan Panorama Melaka Sdn Bhd, selepas syarikat berkenaan menutup operasi pada akhir tahun lepas kerana sering kerugian sehingga gulung tikar.   

Dalam perkembangan lain, Hameed berkata semua kerja-kerja pengorekan di jalan raya tidak dibenarkan dijalankan pada dua hari sebelum dan selepas hari raya, bagi memastikan kelancaran trafik selain menjamin keselamatan pengguna jalan raya.

Beliau berkata bagaimanapun, sekiranya berlaku kecemasan seperti kebocoran paip dan terputus bekalan elektrik melibatkan kabel bawah tanah, permohonan khas perlu dibuat bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan dijalankan mengikut prosedur ditetapkan.

“Syarikat kontraktor yang dikesan menjalankan kerja-kerja pengorekkan tanpa kebenaran dalam tempoh berkenaan akan dikenakan gantung kerja, selain dirujuk kepada pihak Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB),” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS