Persatuan Promosi Penyatuan Secara Aman Satu China di Malaysia menafikan dakwaan ia adalah sebuah pertubuhan tidak berdaftar yang mempromosikan ideologi komunis.
Persatuan itu menjelaskan ia telah berdaftar sebagai pertubuhan tidak berasaskan keuntungan dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS), dengan kelulusan diberikan pada 2020.
Ia juga menegaskan ia sentiasa mematuhi peraturan dengan menjalankan aktiviti secara sah serta menghantar laporan tahunan kepada ROS.
Ia turut berkata pihaknya telah menjalankan usaha untuk memupuk perhubungan antara Malaysia, China dan masyarakat antarabangsa.
“Misi persatuan ini adalah untuk menyokong pendirian Malaysia terhadap dasar Satu China, melawan sebarang aktiviti yang mengganggu keharmonian sosial, serta menggalakkan kerjasama positif antara Malaysia dan pihak di luar negara bagi mempertingkat pembangunan ekonomi serta sosial Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dasar Satu China merujuk kepada pendirian rasmi Malaysia mengenai isu Taiwan, iaitu menyokong kedaulatan China ke atas Taiwan dan menolak tuntutan kemerdekaan Taiwan.
Persatuan itu menyifatkan video yang mengandungi dakwaan terhadap mereka sebagai “tidak berasas”, sambiil menyuarakan kesediaan untuk bekerjasama dengan siasatan polis.
Terdahulu, bekas Yang Dipertua Dewan Negara Rais Yatim membuat laporan polis terhadap persatuan itu selepas menonton video yang mendakwa ia tidak berdaftar dan mempersoalkan jika ia cuba menyebarkan ideologi komunis di Malaysia.
Video yang dirujuk oleh Rais adalah ringkasan berbahasa Melayu berdasarkan video berbahasa Cina yang lebih panjang, iaitu dengan durasi 11 minit 31 saat, dengan kedua-duanya dihasilkan oleh pencipta kandungan yang sama.
Selain isu yang dibangkitkan dalam video berbahasa Melayu, versi Bahasa Cina yang lebih panjang turut mempersoalkan pendirian kumpulan itu terhadap Taiwan serta mencadangkan penubuhan sebuah persatuan di Malaysia yang menyokong “kemerdekaan Taiwan secara aman”.
"Saya rasa kerajaan Malaysia patut menyiasat mereka ini, siapa mereka ini? Mereka patut disiasat sama ada mereka mengambil wang daripada Parti Komunis China (PKC) atau tidak. Jika mereka didapati menerima wang PKC, adakah itu satu pengkhianatan?
"Persatuan di Malaysia lazimnya tidak akan kisah jika China dan Taiwan digabungkan semula mahupun Taiwan akan merdeka. Ini soal China dan Taiwan, apa kaitannya dengan Malaysia?," kata video itu.
Semalam Ketua Polis Negara Razarudin Husain memberi amaran terhadap sebarang usaha untuk menghidupkan semula komunisme di Malaysia dan berkata polis akan menjalankan siasatan menyeluruh terhadap kumpulan tersebut serta aktivitinya.
Razarudin berkata siasatan dibuat di bawah Seksyen 41 dan 43 Akta Pertubuhan 1966, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.