ADS
mk-logo
Berita
'Konflik kepentingan' - Pemimpin Bersatu Sabah persoal Armizan
Diterbitkan:  Mar 28, 2025 9:04 PM
Dikemaskini: 1:05 PM

Ketua Pemuda Bersatu Sabah, Hisyam Hazaril Azman menyoal penafian terbaru Armizan Mohd Ali berhubung dakwaan penglibatannya dalam skandal perlombongan di Sabah.

Dia memberikan perhatian khusus terhadap pengesahan Armizan bahawa dia terlibat dalam mesyuarat pada 16 Mei 2023 antara pengurusan Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM) dan sebuah firma dari Indonesia.

“Agak luar biasa bagi seorang individu yang memegang jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas) semasa itu turut memegang jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah (SMM).

"Kedudukan Armizan Ali telah menimbulkan pemikiran negatif dalam masyarakat kerana portfolio menteri yang dipegang oleh beliau langsung tiada kena mengena dengan bidang mineral,” kata Hisyam pada satu kenyataan hari ini.

Sedang menular

ADS

Hisyam berkata menjadi kebiasaan bagi seseorang untuk meletak jawatan dalam kerajaan negeri setelah dilantik sebagai menteri persekutuan.

"Jika beliau dibenarkan memegang kedua-dua jawatan dalam satu masa yang sama, tidak mustahil akan menimbulkan isu konflik kepentingan seperti apa yang sedang menular di media sosial.

"Kekeliruan ini perlu diperjelaskan oleh Armizan dan kerajaan GRS,” dakwanya.

ADS

Terdahulu, Armizan yang juga Setiausaha Agung Bersama Gabungan Rakyat Sabah, mengesahkan dia merupakan sebahagian daripada mesyuarat pada 2023 antara pengurusan SMM dan wakil dari firma tersenarai awam Indonesia, PT Bayan Resources.

Dakwaan ‘Datuk Z’

Armizan berkata mesyuarat itu sebahagian misi menilai cadangan pelaburan “tulen dan berimpak tinggi” seperti projek berjaya PT Bayan di Indonesia, yang turut menggaji ramai profesional mahir dari Malaysia.

Dia mengulas beberapa hantaran di Facebook yang memetik seorang individu bergelar “Datuk Z” mendakwa Armizan terlibat dalam rundingan antara syarikat Indonesia dan SMM berkaitan lesen penerokaan mineral di negeri itu.

Hantaran tersebut, yang disertakan dengan gambar lawatan Armizan dan SMM ke pejabat syarikat Indonesia itu di Jakarta, cuba mengaitkan dia dengan dakwaan skandal rasuah melibatkan projek penerokaan mineral di Sabah.

Sejak November tahun lalu, lapan orang Adun Sabah, Speaker Dewan Undangan Negeri dan Ketua Menteri Hajiji Noor dikaitkan dengan skandal tersebut oleh seorang pemberi maklumat.

Pemberi maklumat itu mendedahkan beberapa klip video yang menunjukkan beberapa pemimpin negeri didakwa sedang membincangkan sogokan yang diterima mereka sebagai balasan menyokong pemberian lesen penerokaan mineral.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS