Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali, menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang mengaitkannya dengan skandal rasuah berkaitan cari gali mineral di Sabah, sambil mencabar pihak yang menyebarkan tuduhan itu tampil dengan bukti kukuh.
Dalam satu kenyataan, Armizan berkata ahli majlis tertinggi Warisan, Calvin Chong dan pengarah jentera pilihan raya Umno Sabah, Jeffery Nor Mohamed telah memanjangkan kandungan ‘mesej layang’ yang disebarkan di media sosial.
Malah katanya, bekas ahli parlimen Papar, Ahmad Hassan turut menyumbang kepada penularan 'mesej layang' tersebut.
"Saya meminta kedua-dua individu ini dan Ahmad Hassan yang menyumbang kepada penularan 'mesej layang' agar membantu saya mencari sumber dakwaan tersebut.
"Sila bawa ‘wartawan siasatan (X7)’ tampil dan ‘Datuk Z’ keluar dari alam ghaib serta dedahkan segala bukti yang mereka ada, sekiranya watak-watak ini benar-benar wujud,” katanya.
Armizan turut mengesahkan dia telah mengarahkan peguamnya menulis secara rasmi kepada ketiga-tiga mereka bagi mendapatkan penjelasan.
Terdahulu pada 26 Mac lalu, Jeffery mendesak Armizan memberi penjelasan berhubung dua keping gambar tular yang didakwa menunjukkan dia bertemu sebuah syarikat perlombongan Indonesia pada tahun 2023, dengan mendakwa ramai rakyat Sabah tertanya-tanya mengenai imej tersebut.

Gesaan itu dibuat selepas Armizan pada 25 Mac menafikan dakwaan bahawa dia terlibat dalam rasuah, susulan mesej tular di media sosial yang mengaitkannya dengan skandal rasuah berkaitan projek cari gali mineral di Sabah.
Pada ketika itu, Armizan mendakwa individu yang bertanggungjawab menyebarkan dakwaan tersebut adalah seorang bekas wakil rakyat yang tidak dinamakannya.
‘Datuk Z’
Carian di Facebook mendapati beberapa siaran memetik “Datuk Z” mendakwa Armizan terlibat dalam rundingan antara syarikat Indonesia dan Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM) berhubung lesen cari gali mineral di negeri itu.
Hantaran tersebut turut memaparkan gambar lawatan yang didakwa melibatkan SMM dan Armizan ke pejabat syarikat Indonesia itu di Jakarta pada Mei 2023.
Mengulas lanjut, Armizan melahirkan rasa musykil mengapa penglibatannya dalam mesyuarat rasmi di Ibu Pejabat PT Bayan Resources di Jakarta, Indonesia pada 16 Mei 2023 dijadikan bahan fitnah.
"Ia merupakan perjumpaan rasmi di antara pengurusan kedua-dua pihak iaitu Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM) iaitu anak syarikat Kerajaan Negeri Sabah dan PT Bayan iaitu syarikat senaraian awam yang merupakan antara syarikat pembayar cukai terbesar di Indonesia, bukan syarikat-syarikat kartel mineral yang tidak mempunyai sebarang 'track record',” jelasnya.
Menurutnya, lawatan tersebut bertujuan meneliti cadangan pelaburan tulen dan berimpak tinggi yang dapat memberi manfaat kepada Sabah, termasuk penggunaan tenaga kerja profesional dari Malaysia.
“Kedua-dua gambar yang ditularkan secara jelas menunjukkan kehadiran pasukan pengurusan kedua-dua pihak, tidak timbul soal perjumpaan sulit seperti didakwa," katanya lagi.
Armizan menegaskan dia bertanggungjawab atas setiap tindakannya berdasarkan amanah yang diberikan kepadanya. Dia juga menyeru agar semua pihak turut berpegang kepada prinsip yang sama.
"Sabah tidak boleh dibangunkan bermodalkan fitnah, tetapi atas idea bernas dan komitmen tinggi menggerakkan hala tuju pembangunan negeri. Sabah tidak boleh dipimpin oleh mereka yang bankrap idea dan hala tuju serta hanya cuba mendapat sokongan rakyat dengan sentimen dan persepsi yang berpaksikan fitnah dan cacian; menuding jari mencari salah orang lain tanpa melihat kepada ‘track record’ sendiri,” katanya.
Dalam pada itu Armizan berharap agar individu yang menyebarkan tuduhan tersebut tampil ke hadapan dan mengambil tanggungjawab terhadap dakwaan mereka.
“Jangan baling batu, sembunyi tangan. Berani tampilkan diri, ambil tanggungjawab terhadap dakwaan dan kita jumpa di mahkamah,” tegasnya.