Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Chan Foong Hin menggesa semua pihak agar menangani isu-isu politik sensitif dengan penuh kebijaksanaan, ketika Malaysia bersiap menerima lawatan rasmi daripada Presiden China, Xi Jinping.
Bercakap selepas majlis perasmian Forum Pemikir China-Malaysia 2025 di Universiti Malaya, Chan melahirkan kebimbangan terhadap cubaan segelintir individu untuk mencetuskan sentimen perkauman dan ideologi pada saat penting dalam hubungan dua hala Malaysia-China.
Menurut laporan Oriental Daily News, Chan berkata sebarang forum atau aktiviti yang memperkukuh kerjasama antara Malaysia dan China sewajarnya digalakkan, lebih-lebih lagi ketika negara menantikan ketibaan Presiden Xi dalam beberapa minggu akan datang.

Namun begitu, dia kesal apabila ada pihak yang menggunakan waktu ini untuk membangkitkan emosi berasaskan perbezaan ideologi dan kaum.
Kenyataan Chan itu hadir sebagai reaksi kepada kontroversi melibatkan Persatuan Malaysia untuk Promosi Penyatuan Aman China, sebuah NGO yang menjadi perhatian selepas didakwa mempromosikan ideologi komunis di Malaysia.
Kontroversi tersebut tercetus selepas bekas yang dipetua Dewan Negara, Rais Yatim membuat laporan polis mempersoalkan sama ada pertubuhan itu menyebarkan fahaman komunisme.
Dakwaan Rais kemudian disiarkan oleh lidah rasmi PAS, Harakah dan seterusnya menarik perhatian pihak berkuasa.
Ketua Polis Negara, Razarudin Husain berikrar untuk menjalankan siasatan menyeluruh terhadap pertubuhan itu dan memberi amaran terhadap sebarang tindakan yang boleh mengganggu ketenteraman awam.
Meskipun Chan tidak menyebut nama Rais Yatim secara langsung, kenyataannya dilihat sebagai respons kepada tuduhan yang dilemparkan oleh bekas senator tersebut.
“Pada waktu kritikal ini, ketika lawatan Xi Jinping semakin hampir, adalah penting untuk kita menangani perkara-perkara seperti ini dengan penuh kebijaksanaan,” kata Chan.