ADS
mk-logo
Berita
Senarai muktamad calon tanding pemilihan PKR diumum hari ini

Senarai muktamad calon layak bertanding dalam pemilihan PKR akan diumumkan secara rasmi oleh Jawatankuasa Pemilihan parti itu, hari ini.

Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh berkata, senarai akhir calon itu diputuskan selepas proses bantahan dan rayuan bantahan pada 20 Mac hingga 25 Mac lalu selesai.

"Untuk pemilihan kali ini, pihak Jawatankuasa Pemilihan akan mengumumkan hari ini nama calon yang layak bertanding di peringkat cabang dan sebagainya.

"Untuk pemilihan peringkat pusat... seperti ditetapkan pada 25 Mei, manakala peringkat cabang antara 11 hingga 20 April," katanya ketika sidang media di Kuantan, Pahang, hari ini.

ADS

Jawatankuasa Pemilihan PKR diketuai Dr Zaliha Mustafa.

Terdahulu, Fuziah yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) merasmikan program jualan Rahmah Madani di tapak pasar nelayan Pantai Sepat, dekat Kuantan.

Ditanya mengenai jumlah pencalonan bagi jawatan ketua cabang yang ramai di Kelantan, dia memaklumkan ia adalah proses biasa dan pencalonan itu belum muktamad - layak atau tidak - untuk bertanding.

Semalam, Malaysiakini melaporkan jawatan ketua cabang PKR di Kelantan menjadi rebutan walaupun parti itu berstatus pembangkang di negeri berkenaan.

ADS

Seramai 44 calon bertanding merebut jawatan ketua cabang bagi 14 cabang di Kelantan.

Semakan Malaysiakini mendapati cabang Machang merekodkan penyertaan tertinggi apabila enam individu tampil menjadi calon bagi jawatan ketua cabang.

Bagi cabang Kota Bharu, Pasir Mas, Kubang Kerian dan Bachok pula masing-masing bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru bagi jawatan itu.

Sehingga tarikh akhir pencalonan pada 16 Mac lalu, PKR menerima lebih 17,500 pencalonan untuk pelbagai jawatan parti bagi pemilihan kali ini.

Dalam perkembangan sama, Fuziah menyatakan rasa puas hati dengan proses pencalonan parti itu dan berharap sistem pengundian elektronik (e-voting) dengan elemen AI yang digunakan PKR dalam pemilihan kali ini berjalan dengan baik.

"Kita cuba gunakan sistem e-voting ini sepenuhnya, namun kita juga tidak boleh meminggirkan hak ahli parti yang tidak mempunyai kemudahan internet, berada di kawasan luar bandar yang liputan internet terbatas dan berusia 60 tahun ke atas.

"Jadi, kaedah (pengundian) manual tetap ada... kemudahan ini diuruskan pihak Jawatankuasa Pemilihan parti," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS