ADS
mk-logo
Berita
Malaysia sasaran tarif Trump seterusnya?
Diterbitkan:  Mar 28, 2025 8:34 AM
Dikemaskini: 12:34 AM

Malaysia berkemungkinan menjadi sasaran Amerika Syarikat apabila Presiden Donald Trump bersiap sedia untuk mengumumkan pusingan baru tarif import bagi menangani defisit perdagangan negara itu.

Trump sebelum ini berkata dia akan memperkenalkan beberapa tarif baru pada 2 April ini.

Namun, pada Selasa lalu, dia mengumumkan bahawa tidak semua levi akan dikenakan pada tarikh tersebut dan sesetengah negara mungkin diberikan pengecualian.

Menurut laporan Reuters, dua pegawai kanan AS - Setiausaha Perbendaharaan Scott Bessent dan penasihat ekonomi utama White House, Kevin Hassett - menjelaskan minggu lalu bahawa tarif tersebut akan tertumpu kepada negara-negara yang mempunyai lebihan dagangan terbesar dengan AS serta mereka yang mengenakan halangan perdagangan tarif dan bukan tarif yang tinggi.

ADS

Ini termasuk senarai yang digelar sebagai "Dirty 15".

Namun, kandungan sebenar senarai tersebut masih belum jelas.

Perhatian khusus

Kerajaan AS masih belum menerbitkan senarai tersebut. Bessent dilaporkan berkata ia merangkumi 15 peratus daripada negara-negara, manakala Hassett menyatakan tumpuan adalah pada 10 hingga 15 negara.

ADS

Pejabat Wakil Perdagangan AS telah meminta komen awam mengenai cadangan untuk mengenakan tarif balas terhadap negara lain.

Mereka menyatakan bahawa mereka "berminat secara khusus" untuk mendapatkan pandangan mengenai senarai negara terbabit, termasuk Malaysia.

Negara dan wilayah lain dalam senarai itu adalah Argentina, Australia, Brazil, Kanada, China, Kesatuan Eropah, India, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, Mexico, Rusia, Arab Saudi, Afrika Selatan, Switzerland, Taiwan, Thailand, Türkiye, Britain dan Vietnam.

"Negara-negara ini merangkumi 88 peratus daripada jumlah perdagangan barangan dengan Amerika Syarikat," menurut permintaan itu.

Sementara itu, data dari Biro Banci AS menunjukkan bahawa AS mengalami defisit perdagangan barangan sebanyak AS$1.2 trilion tahun lalu. Daripada jumlah itu, AS$24.83 bilion berpunca daripada perdagangan dengan Malaysia, yang merupakan defisit ke-14 terbesar dalam data tersebut.

Trump juga mengumumkan bahawa AS akan mengenakan tarif sekunder sebanyak 25 peratus ke atas negara-negara yang mengimport minyak dan produk petroleum dari Venezuela, sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Namun, berdasarkan data yang dikumpul oleh Pangkalan Data Statistik Perdagangan Komoditi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Malaysia tidak mengimport komoditi tersebut dari Venezuela sejak tahun 2021.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS