ADS
mk-logo
Berita
Pemimpin Warisan desak GRS nyatakan pendirian isu dakwaan rasuah Armizan
Diterbitkan:  Mar 27, 2025 5:32 PM
Dikemaskini: 9:32 AM

Ahli Majlis Tertinggi Warisan Calvin Chong hari ini mendesak Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyatakan pendirian terhadap dakwaan rasuah yang dikaitkan dengan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Ali (gambar atas).

Adun Elopura itu berkata pemimpin GRS tidak boleh bergantung pada prinsip 'tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah di mahkamah' sebagai alasan untuk berdiam diri atau mengelak tanggungjawab.

"Sekiranya pemimpin kerajaan GRS yang mereka sokong didapati bersalah dalam kes rasuah ini, adakah mereka sanggup meletakkan jawatan secara kolektif sebagai tanda penghormatan kepada pengundi dan komitmen terhadap prinsip antirasuah?” soalnya dalam satu kenyataan.

Dia merujuk kepada beberapa Adun GRS yang dituduh terlibat rasuah.

ADS

Pada 25 Mac, Armizan menafikan dakwaan dia terlibat dalam rasuah, selepas mesej tular di media sosial yang mengaitkannya dengan dakwaan skandal rasuah membabitkan projek cari gali mineral di Sabah.

Timbalan setiausaha agung GRS itu mendakwa pihak yang bertanggungjawab menyebarkan dakwaan itu adalah bekas wakil rakyat, namun tidak menyatakan secara spesifik individu yang dimaksudkannya.

Carian di Facebook mendapati beberapa siaran memetik “Datuk Z” mendakwa Armizan terlibat dalam rundingan antara syarikat Indonesia dan Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM) berhubung lesen cari gali mineral di negeri itu.

Siaran berkenaan termasuk gambar yang didakwa memaparkan lawatan SMM dan Armizan ke pejabat syarikat Indonesia itu di Jakarta pada Mei 2023.

ADS

Mengulas lanjut, Chong merujuk kepada janji-janji GRS pada pilihan raya lalu untuk menegakkan ketelusan, keadilan dan akauntabiliti.

"Rakyat sedang memerhati dan menilai setiap langkah pemimpin yang telah mereka pilih.

"Jika mereka terus berdolak-dalik, mengelak tanggungjawab, dan enggan mengambil pendirian yang tegas, mereka harus bersedia untuk dihukum oleh sejarah dan pengundi pada pilihan raya akan datang,” katanya.

Dewan Undangan Negeri Sabah akan dibubarkan pada Oktober bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri.

Chong turut menggesa SPRM menjalankan siasatan menyeluruh dan telus berhubung dakwaan terhadap Armizan.

Sejak November tahun lepas, seorang pemberi maklumat mendakwa lapan Adun Sabah, speaker negeri dan Ketua Menteri Hajiji Noor terbabit dalam rasuah.

Pemberi maklumat itu telah mengeluarkan beberapa siri klip video yang menunjukkan beberapa pemimpin negeri didakwa membincangkan rasuah yang mereka terima bagi memberi lesen cari gali mineral.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS