ADS
mk-logo
Berita
Mahkamah arah k'jaan Selangor dedah laporan penilaian impak PJD Link

Empat penduduk Petaling Jaya berjaya mendapat perintah mahkamah sivil untuk mensyaratkan Jabatan Perancangan Desa Negeri Selangor menyerahkan empat dokumen penting kepada mereka berhubung cadangan pembinaan projek lebuh raya bertingkat penyuraian trafik Petaling Jaya (PJD Link).

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan semakan kehakiman penduduk untuk mendapatkan laporan mengenai Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA), Penilaian Kesan Sosial (SIA), Penilaian Kesan Trafik (TIA), dan penjajaran lebuh raya.

Ketika mengesahkan keputusan prosiding pagi ini, peguam mereka, Lim Wei Jiet berkata mahkamah bagaimanapun tidak membenarkan permohonan mereka untuk mendapatkan perjanjian konsesi projek itu atas sebab Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Peguam itu berkata Hakim Amarjeet Singh mengarahkan jabatan negeri berkenaan menyerahkan empat laporan itu dalam tempoh 30 hari dari hari ini.

Pada 7 Jun 2023, empat penduduk itu memfailkan tindakan undang-undang berhubung dakwaan keengganan pihak berkuasa untuk mematuhi permohonan mereka untuk mendapatkan dokumen projek tersebut,

ADS

Menurut salinan afidavit yang menyokong tindakan itu, penduduk Petaling Jaya T Chakaravarthi berhujah mereka terpaksa menggunakan permohonan kebenaran semakan kehakiman kerana pihak berkuasa gagal menjawab permohonan tersebut.

Chakaravarthi menegaskan bahawa oleh kerana penduduk akan terjejas secara langsung dan tidak langsung oleh projek PJD Link, mereka mempunyai hak untuk mendapatkan akses dokumen tersebut untuk mendapatkan maklumat yang komprehensif dan mendalam tentang skop, impak dan terma berkaitan projek itu.

Penduduk Petaling Jaya itu juga berhujah, antara lain, mereka perlu mengakses laporan SIA untuk memastikan kesan projek PJD Link terhadap masyarakat setempat dan aktiviti mereka, dengan mengambil kira faktor seperti sama ada projek itu diterima atau tidak oleh penduduk.

ADS

Chakaravarthi mendakwa mereka juga perlu mengakses perjanjian konsesi projek itu untuk membolehkan penduduk dan orang awam memberikan input mereka sama ada terma itu berat sebelah kepada syarikat yang terlibat, atau jika terma berkenaan tidak memberi manfaat kepada masyarakat atau alam sekitar setempat.

Kumpulan itu sebelum ini melancarkan laporan SIA bebas dengan penyertaan 2,501 penduduk yang terjejas dengan cadangan pembinaan lebuh raya PJD Link.

Tinjauan dibuat susulan dakwaan kekurangan ketelusan berhubung SIA rasmi dan untuk mendapatkan pandangan pihak berkepentingan di kawasan pembinaan PJD Link.

Tinjauan dalam talian yang diadakan dari 6 Feb hingga 1 Mei tahun ini menyimpulkan bahawa 88.6 peratus responden sangat tidak bersetuju dengan projek lebih raya itu.

Selain itu, 93.6 peratus responden menyatakan mereka dan keluarga akan terkesan dengan projek ini.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS