KATA MP l Cadangan Pesuruhjaya PAS Selangor Abdul Halim Tamuri agar mereka yang bermastautin di Selangor mengundi di Selangor perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak.
Malahan saya berpandangan bahawa prinsip asas dari cadangan ini mempunyai aplikasi lebih meluas, iaitu sepatutnya seseorang itu hanya mengundi di lokasi dia bermastautin.
Sewaktu saya menganggotai Jawatankuasa Pembaharuan Pilihan Raya (Electoral Reform Committee) yang dibentuk oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan dipengerusikan oleh Abdul Rashid Abdul Rahman, topik ini telah ditimbulkan dan seingat saya kami memberi beberapa idea yang semuanya berkisar ke arah pengundian di lokasi mastautin.

Bagi saya, jika seseorang itu mengundi di lokasi yang dia tidak bermastautin (contohnya di kampung tempat lahir yang telah bertahun-tahun ditinggalkan), ia menimbulkan pertembungan dengan prinsip asas demokrasi iaitu kuasa memilih wakil rakyat seharusnya dipegang oleh mereka yang akan menerima kesan daripada pilihan yang dibuat, bukan oleh mereka yang tidak merasa apa-apa kesan dari pilihan mereka.
Adalah tidak wajar seseorang yang hanya pulang untuk seminggu dua dalam setahun menentukan wakil rakyat yang akan memegang jawatan untuk lima tahun di tempat itu.
Jika ini berlaku, ia bermaksud individu yang telah menjadi orang luar yang tidak lagi menetap di situ seperti merampas kuasa penduduk setempat untuk menentukan wakil rakyat mereka sendiri.
Tidak wajar juga untuk seseorang yang tinggal di sesuatu lokasi bertahun-tahun tetapi sengaja pergi mengundi di tempat lain. Ini pula seperti dia tidak mempedulikan siapa yang mewakili kawasan sendiri dan tidak mahu bertanggungjawab kepada lokaliti sendiri.

Memang seharusnya demokrasi di Malaysia memastikan bahawa konsep local representation ditegakkan. Ini juga adalah satu bentuk reformasi institusi.
Saya menyeru agar kita mengenepikan pertimbangan sempit kepartian seperti yang ditunjukkan oleh beberapa ahli politik PH dalam isu ini.
Perkara ini adalah lebih besar daripada kerakusan PH untuk berkuasa semata-mata. Penolakan buta tuli adalah tanda mereka tidak faham mengenai nilai sebenar local representation.
Ada yang mengatakan PH memang mahu pengundi Melayu keluar dari kawasan tertentu dan mengundi di tempat lain kerana PH ada kelebihan jika perkara itu berterusan. Tetapi bagi saya perkara ini tidak ada kena mengena dengan bangsa atau agama.

Kalau orang Cina atau India menetap di sesuatu lokaliti, mereka juga wajar mengundi di lokaliti itu secara inklusif.
Adalah tidak wajar PH menolak cadangan yang baik semata-mata disebabkan takut kalah pilihanraya.
WAN SAIFUL WAN JAN adalah ahli Parlimen Tasek Gelugor dan juga ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.