ADS
mk-logo
Berita
Pembinaan Masjid Madani diteruskan, Anwar letak batu asas Khamis ini
Diterbitkan:  Mar 25, 2025 10:43 AM
Dikemaskini: 5:46 AM

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengesahkan kehadirannya ke majlis meletakkan batu asas bagi pembinaan masjid di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur pada Khamis ini.

Katanya, dia juga akan meletakkan batu asas sebagai tanda pembinaan Masjid Madani di tanah wakaf yang dimilik syarikat tekstil, Jakel Group.

“Kawasan-kawasan amalan di situ, masjid-masjid berdekatan, sesak. Perlu ada tempat baharu.

“Jadi, sebab itu saya akan teruskan untuk meletakkan batu asas di masjid pada,Khamis, 27 hari bulan (Mac) ini,” katanya selepas semasa merasmikan sambutan peringatan Hari Polis Ke-218 di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol) di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut Anwar kebenaran pembinaan Masjid Madani itu juga sudah diperoleh sejak 2019.

ADS

"Saya tegaskan, bila kebenaran bina masjid diluluskan? 2019, tahu siapa perdana menteri masa itu. Bila diberi kebenaran pembangunan? 2020..Perdana Menteri baru ambil alih.

"Bila diluluskan mula bangun dan dibina? 2021.. Perdana Menteri yang satu lagi (ambil alih), tapi yang salah perdana menteri sekarang," katanya sinis.

Sehubungan itu, Anwar menasihatkan jawatankuasa kuil Dewi Sri Pathrakaliam di Kuala Lumpur itu agar berunding dengan baik.

ADS

“Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), syarikat berkenaan, DBKL.. semua itu diminta sederhana, sopan dan bincang dengan baik.

"Jawatankuasa kuil saya sebut begitu juga, bincang dengan baik.

“Kami ini rakan dan sahabat dan jangan dambakan kami sebagai orang zalim dan jangan dengar penghasut," katanya.

Anwar menambah bahawa Malaysia adalah sebuah negara tertakluk kepada undang-undang, namun demi menjaga hubungan dan keharmonian antara kaum maka rundingan secara baik berhubung pemindahan kuil berkenaan tetap dilaksanakan.

Dia juga berkata tidak timbul isu untuk merobohkan kuil tersebut meskipun dibangunkan di tempat tidak sepatutnya.

"Walaupun dia salah, tempatnya salah, kita kata, angkat baik-baik, pindah,” katanya.

Anwar berkata kerajaan tidak menggunakan agama Islam sebagai agama Persekutuan untuk menekan mana-mana pihak, dan sesiapa jua, sama ada kumpulan majoriti atau minoriti adalah tertakluk kepada hukum dan undang-undang.

“Kita tidak boleh ada bentuk tirani pihak majoriti, sama juga kita tidak boleh terima tirani kelompok minoriti. Kita kena pertahankan apa yang disebut nilai Madani ini," katanya.

Turut hadir pada sambutan itu, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dan timbalannya Shamsul Anuar Nasarah serta Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Hadir sama Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Polis Negara Razarudin Husain dan Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS