ADS
mk-logo
Berita
MP Sungai Buloh umum bertanding Naib Presiden PKR
Diterbitkan:  Mar 24, 2025 10:59 AM
Dikemaskini: 4:06 AM

Timbalan Ketua Penerangan 1 PKR, R Ramanan, hari ini mengumumkan dia akan bertanding jawatan naib presiden dalam pemilihan parti itu pada Mei ini.

Ramanan yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata keputusan itu dibuat bagi memperkukuh dan memperkasakan lagi PKR dari peringkat akar umbi sehinggalah pimpinan pusat.

“Sebelum mencapai keputusan untuk menggalas amanat sebegini penting, saya telah meluangkan masa berbincang dengan kalangan pimpinan, sahabat seperjuangan, serta anggota PKR di seluruh negara.

“Semangat perjuangan harus seiring dengan gagasan Malaysia Madani dan saya percaya bersama-sama kita mampu lakukan yang terbaik demi masa depan negara. Membujur lalu melintang patah. Reformasi!” katanya dalam kenyataan.

ADS

Ahli Parlimen Sungai Buloh itu berkata dia juga telah memaklumkan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga Presiden PKR terlebih dahulu mengenai keputusan berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan lima penyandang naib presiden telah menyatakan hasrat untuk mempertahankan jawatan masing-masing iaitu Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari; Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun; Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang; dan Nurul Izzah Anwar.

Selain itu Ketua Penerangan PKR yang juga Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, pada Ahad lalu mengumumkan hasrat untuk menyertai pertandingan berkenaan.

Pemilihan bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP) dan Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan Pusat (MPAMKP) parti berkenaan diadakan pada 24 Mei ini.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS