Unicef pada Sabtu menggesa pentadbiran sementara pimpinan Taliban di Afghanistan untuk menarik balik larangan pendidikan menengah untuk pelajar perempuan ketika tahun persekolahan baru bermula tanpa golongan itu untuk tahun ketiga berturut-turut, lapor Anadolu Ajansi.
"Selama lebih tiga tahun, hak pelajar perempuan di Afghanistan telah dilanggar. Golongan ini mesti dibenarkan kembali ke sekolah sekarang. Jika gadis-gadis muda yang berkebolehan dan cerdas ini terus dinafikan pendidikan, maka kesannya akan bertahan selama beberapa generasi," kata Pengarah Eksekutif Unicef Catherine Russell dalam kenyataan, menekankan bahawa "Afghanistan tidak boleh meninggalkan separuh daripada penduduknya."
Dengan permulaan penggal persekolahan baru Afghanistan tanpa pelajar perempuan melebihi gred enam pada Khamis, dia berkata bahawa jika larangan itu tidak ditarik balik, lebih empat juta kanak-kanak perempuan akan dilucutkan pendidikan selepas sekolah rendah menjelang 2030.
"Larangan itu memberi kesan negatif kepada sistem kesihatan, ekonomi dan masa depan negara. Dengan kurangnya gadis mendapat pendidikan, golongan ini menghadapi risiko perkahwinan kanak-kanak yang lebih tinggi dengan kesan negatif terhadap kesejahteraan dan kesihatan mereka," menurut kenyataan itu.
Tanpa wanita dididik dalam penjagaan kesihatan, "kanak-kanak perempuan dan wanita tidak akan menerima rawatan perubatan dan sokongan yang mereka perlukan," yang boleh membawa kepada tambahan 1,600 kematian ibu dan lebih 3,500 bayi, tambahnya.
Unicef turut memaklumkan walaupun terdapat larangan, mereka menyediakan akses pendidikan kepada 445,000 kanak-kanak melalui pembelajaran berasaskan komuniti, 64 peratus daripadanya adalah gadis.
“Kami menggesa pihak berkuasa de facto menghentikan larangan ini serta-merta. Pendidikan bukan sahaja hak asasi; ia laluan kepada masyarakat lebih sihat, stabil, dan makmur,” tegasnya.
Sejak Ogos 2021, susulan kembalinya Taliban berkuasa selepas kejatuhan kerajaan Kabul disokong AS dan pengunduran tentera asing, Taliban mengharamkan pendidikan menengah untuk wanita dan gadis di Afghanistan.
-Bernama