Ratifikasi Statut Rom oleh Filipina sebelum ini tidak ada kaitan dengan penahanan bekas presiden Rodrigo Duterte minggu lalu dan penyerahannya kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), kata penganalisis.
Mereka percaya kejayaan ICC mendapatkan hak penahanan Rodrigo itu hanya disebabkan oleh pergelutan politik dalaman negara itu dan bukannya kuasa mahkamah.
“Ini kebanyakannya berkaitan dengan perebutan politik Filipina, yang melagakan presiden dengan naib presiden, yang bapanya, bekas presiden, menjadi subjek penyerahan tahanan yang luar biasa,” kata Oh Ei Sun.
Oh, yang merupakan felo kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, merujuk kepada Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr dan naib presidennya Sara Duterte, anak perempuan Rodrigo.
“Jadi sudah tentu kuasa yang ada di Filipina menggunakan waran tangkap (terhadap Rodrigo) dan dengan rela mematuhinya untuk mengekstradisi (Rodrigo) Duterte ke The Hague,” tambahnya.
Begitu juga, pakar geostrategi Azmi Hassan berkata Manila boleh mengabaikan waran mahkamah ke atas Rodrigo, tanpa mengira statusnya dalam ICC.
Bagaimanapun, waran itu dihormati oleh pihak berkuasa Filipina "hanya kerana kepentingan politik Marcos Jr", kata ahli akademik Universiti Teknologi Malaysia itu.
Menurut laporan berita, keluarga Marcos dan Duterte telah bertelagah politik sekian lama sejak pakatan politik mereka runtuh selepas memenangi pilihan raya umum 2022 negara itu bersama-sama.

Tambah Azmi, penahanan Rodrigo, walaupun bersejarah, tidak akan memberi banyak kesan kepada negara lain, termasuk anggota Asean seperti Malaysia, yang sebelum ini telah meratifikasi perjanjian itu.
“Jadi impak negatif itu tidak akan menjadi isu besar kerana saya melihat bagi negara-negara lain, umpamanya apa yang berlaku di Manila itu adalah kerana kerjasama yang diberikan oleh (pentadbiran) Ferdinand Marcos Junior yang melihat keluarga Duterte itu adalah sebagai musuh melalui perserteruan beliau dengan Sarah Duterte iaitu naib presiden.
“Jadi negara Asean tidak perlu risau perkara ini akan dikenakan terhadap mereka," kata Azmi kepada Malaysiakini.
Statut Rom adalah perjanjian yang meletakkan asas bagi penubuhan ICC. Ia menetapkan bidang kuasa mahkamah ke atas pembunuhan beramai-ramai, jenayah terhadap kemanusiaan, jenayah perang, dan jenayah pencerobohan.
Sebagai rekod, Filipina menandatangani Statut Rom pada 2011 tetapi menarik diri pada 2019.
Begitu juga, Malaysia juga secara rasmi menyetujui statut itu pada Mac 2019. Bagaimanapun, kerajaan yang ketika itu diketuai Dr Mahathir Mohamad memutuskan untuk membatalkan ratifikasi itu sebulan kemudian berikutan tindak balas yang mendakwa ia akan menjejaskan kedaulatan raja-raja Melayu.
Penganalisis politik Awang Azman Awang Pawi mempunyao pandangan yang berbeza. Ahli akademik Universiti Malaya itu berkata penyerahan Rodrigo kepada ICC akan memberi implikasi yang luas kepada negara Asia Tenggara, terutamanya Malaysia kerana ia sebelum ini menandatangani Instrumen Penyertaan kepada Statut Rom ICC.
“Ini berpotensi menjadi rujukan (precedent) kepada negara-negara lain termasuk Malaysia dalam kes melibatkan dakwaan jenayah hak asasi manusia.
“Tekanan terhadap pemimpin dan institusi negara. NGO antarabangsa dan kuasa Barat mungkin lebih giat menekan Malaysia untuk bertanggungjawab di bawah kerangka undang-undang antarabangsa,” katanya.

Menurut Awang Azman, langkah yang diambil Filipina telah membuka pintu kepada Barat untuk mencampuri perbincangan dalaman Asean dengan alasan mempertahankan hak asasi manusia.
Malaysia, katanya, mungkin menghadapi risiko yang sama kerana ia sebelum ini meratifikasi Statut Rom.
Dia berkata Malaysia sebagai pengerusi Asean sekarang harus menegaskan semula prinsip tidak campur tangan dalam hal ehwal negara anggota.