Kumpulan masyarakat sivil Pusat Komas dalam kajian tahunan mengenai rasisme di Malaysia mencatatkan 28 kes melibatkan anggota parlimen, bahagian tertinggi daripada sejumlah 73 kes yang direkodkan tahun lalu.
Insiden-insiden berkaitan dipantau berdasarkan prosiding parlimen secara langsung dan hansard rasmi.
“Berdasarkan kejadian-kejadian tersebut, didapati bahawa anggota parlimen menggunakan sentimen perkauman dan agama dalam ucapan mereka, dengan memberikan petunjuk halus dan/atau terang-terangan mengenai keunggulan kaum, stereotaip, prasangka, dan maklumat salah mengenai undang-undang sedia ada,” menurut laporan Laporan Rasisme Malaysia 2024.

Laporan itu dilancarkan oleh Menteri Perpaduan Aaron Ago Dagang di Petaling Jaya hari ini.
Turut hadir, pengarah Pusat Komas Jerald Joseph, yang menyerahkan salinan laporan tersebut kepada Aaron.
Daripada 28 kes, sebahagian besarnya melibatkan anggota parlimen Perikatan Nasional (PN), termasuk pelaku berulang Ahmad Fadhli Shaari (Pasir Mas) dan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Machang).
Laporan itu juga menyenaraikan Suhaizan Kaiat (Pulai) dan Jalaluddin Alias (Jelebu) sebagai antara anggota parlimen kerajaan yang mengeluarkan kenyataan sedemikian di Dewan Rakyat.
Terdahulu, penyelaras program Projek Komas Umi Maisarah Kamis membentangkan penemuan laporan dan menyatakan mungkin terdapat lebih banyak kes yang tidak direkodkan.
“Apa yang disebutkan di parlimen sangat halus dan mungkin kenyataan mereka kelihatan tiada masalah.
“Tetapi jika kita lihat lebih mendalam, ia tidak selaras dengan prinsip nilai kita,” katanya.
“Sebagai contoh, apabila seorang anggota parlimen berkata 'Tiada keperluan untuk Icerd kerana tiada diskriminasi'.
“Ini membuktikan anggota parlimen tersebut menafikan kewujudan diskriminasi terhadap minoriti sedangkan sebenarnya terdapat beberapa kes diskriminasi di negara ini,” kata Maisarah.