Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin berkata gabungan itu mempunyai penyelesaian kepada isu-isu yang dihadapi rakyat ketika ini, termasuk isu pendapatan dan kenaikan harga barangan.
Meski tidak menyatakan secara terperinci jawapan yang dimaksudkannya, Muhyiddin berkata PN sedia menjadi kerajaan jika dipilih rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dan “membetulkan keadaan”.
"Apakah pihak kita PN dan Bersatu bersedia untuk jadi kerajaan dalam penantian...tak payah sebut apa-apa kami sentiasa bersedia bila-bila masa.
"Kesedian kita untuk mentadbir urusan negara lebih lagi kalau keadaan tertekan rakyat berdepan dengan situasai yang amat sukar, pendapatan tidak meningkat... barang naik, subsidi sudah tidak ada, sudah pasti ia sesuatu yang amat rumit.
"Tapi kalau kita diberikan peluang, kita (akan) betulkan keadaan...kita ada jawapan pada semua perkara itu," katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa Presiden Pengasas Bersatu bersama pengamal media di Kuala Lumpur, hari ini.
Pada 9 Mac lalu, Muhyiddin dilapor menggariskan tiga pelan tindakan untuk memastikan sokongan rakyat kepada gabungan itu terus meningkat bagi memenangi PRU16 dan membentuk kerajaan.
Muhyiddin optimis gabungan dianggotai Bersatu, PAS, Gerakan dan SAPP itu bakal menjadi pilihan utama pengundi pada PRU16 nanti dan mahu semua pihak dalam PN istiqamah dalam perjuangan.
Presiden Bersatu itu menasihatkan ahli PN agar tidak berasa lemah atau gundah gulana kerana bergelar pembangkang ketika ini.
Sebaliknya, Muhyiddin menggesa mereka yakin dengan kekuatan gabungan dan komited melaksanakan peranan sebagai pembangkang.
"Rakyat meletakkan harapan yang tinggi kepada PN untuk memainkan peranan semak dan imbang dalam sebuah negara demokrasi. Rakyat mahu kita menjadi suara mereka, baik di Parlimen mahu pun di luar parlimen," katanya.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata cara kerajaan Madani menguruskan subsidi telah memberi tekanan berganda kepada rakyat.
Katanya, rakyat rata-ratanya terkesan dengan tindakan yang tidak bijaksana diambil oleh kerajaan Madani.
"Kalau kita buat (uruskan subsidi) kita tak akan lakukan seperti mana PH lakukan yang membawa kesan berganda, bukan berganda yang baik, berganda yang tidak baik.
"Nyata (kesan berganda) terbukti, telah banyak kajian-kajian saintifik yang dilakukan badan pemikir kami," katanya lagi.