Warga emas yang tular berhubung kes menampar seorang lelaki bukan Muslim di kedai serbaneka sebuah pusat beli-belah dihadapkan semula ke Mahkamah Majistret di Johor Bahru hari ini atas pertuduhan sengaja mendatangkan kecederaan.
Abdul Razak Ismail, 65, selaku orang kena saman (OKS) mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Majistret A Shaarmini.
Timbalan Pendakwa Raya Nor Afiqah Musa berkata pihaknya menerima arahan terbaharu daripada Pengarah Pendakwaan Negeri untuk pertuduhan diteruskan terhadap OKS kerana terdapat isu teknikal pagi tadi.
Mengikut pertuduhan pindaan, OKS didakwa sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Elijah Ling Zhao Zhong, 22, di sebuah kedai serbaneka di Johor Bahru pada 6.15 petang, Ahad lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Nor Afiqah menawarkan jaminan RM8,000 terhadap OKS, namun peguam Mohd Salleh Togimin yang mewakili Abdul Razak merayu jaminan rendah kerana anak guamnya merupakan pesara kerajaan dan menyara seorang isteri serta tiga anak.
Mahkamah membenarkan OKS diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin warga tempatan dan menetapkan 29 April depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.
Pagi tadi media melaporkan OKS dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) oleh mahkamah sama daripada pertuduhan tersebut dan OKS akan dituduh semula di mahkamah pada tarikh lain.
Shaarmini mengenakan perintah DNAA itu selepas pihak pendakwaan mendapat arahan terbaharu untuk mengklasifikasikan kes Abdul Razak sebagai DNAA dan dirujuk ke Jabatan Peguam Negara (AGC), Putrajaya.
AGC kemudian dalam kenyataan memaklumkan perintah DNAA terhadap OKS dipohon susulan terdapat isu teknikal berkaitan pertuduhan yang difailkan terhadapnya semasa prosiding berlangsung pagi tadi.
- Bernama