Pemuda Amanah Kelantan menempelak kenyataan Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, yang menyatakan hasrat menjadikan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kelantan, khususnya Majlis Perbandaran Kota Bharu – Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), sebagai model contoh sekiranya PN mentadbir Putrajaya.
Ketuanya, Hazmi Hassan, berkata kenyataan itu jelas menunjukkan PN masih "bermimpi di siang hari".
“Kenyataan ini mengundang tanda tanya, dalam aspek apakah MPKB-BRI boleh dijadikan contoh terbaik? Jika benar mahu menjadikan MPKB-BRI sebagai contoh, maka langkah pertama sepatutnya adalah memperbaiki kelemahan pengurusan sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini hari ini.
Menurut Hazmi, banyak aspek asas masih jauh ketinggalan dan tidak mencerminkan piawaian sebuah PBT yang boleh dijadikan rujukan oleh PBT lain.
"Cukuplah kita bercakap tentang satu perkara dahulu – pengurusan sampah. Isu ini sudah lama menjadi rungutan rakyat Kelantan.
“Adakah MPKB-BRI kini menjadi contoh terbaik dalam pengurusan sisa pepejal? Hakikatnya, tidak ada sesiapa pun yang memuji kecekapan MPKB-BRI dalam aspek ini. Malah, keadaan semakin merosot dengan longgokan sampah yang tidak terurus, bau busuk, dan sistem kutipan yang tidak konsisten,” tegasnya.

Hazmi mengulas kenyataan Takiyuddin yang dilaporkan Harakahdaily baru-baru ini berhubung cadangan menjadikan MPKB-BRI sebagai role model pentadbiran PBT.
Tambahnya, jika pengurusan sampah pun tidak mampu dijadikan contoh, bagaimana pula dengan aspek lain yang lebih kompleks?
Sehubungan itu, Hazmi mencadangkan beberapa aspek asas yang wajar diberi perhatian sekiranya benar MPKB-BRI mahu diangkat sebagai contoh teladan PBT.
Katanya, perlu ada penambahbaikan dari segi hala tuju perancangan dan pembangunan bandar, penyelenggaraan jalan raya dan kemudahan asas, ketelusan dalam penguatkuasaan undang-undang kecil, pengurusan kutipan cukai, serta pelantikan ahli majlis yang berintegriti.

Hazmi turut menyifatkan suasana di bandar Kota Bharu semakin suram dengan banyak premis perniagaan ditinggalkan kosong, malah sebahagiannya dijadikan sarang burung layang-layang.
“Jika benar mahu menjadikan MPKB-BRI sebagai contoh, sepatutnya PBT di Kelantan belajar dan mencontohi bandar-bandar lain yang berjaya membangunkan ekonomi tempatan dengan baik. Ambil contoh terbaik, sesuaikan dengan kehendak dan budaya rakyat Kelantan,” ujarnya.
Dia menambah, sekiranya PN tetap mahu menjadikan MPKB-BRI sebagai model pentadbiran nasional, ia bukan sahaja cadangan yang tidak masuk akal, malah menunjukkan kegagalan memahami realiti sebenar.
Menurutnya apa yang diperlukan bukan sekadar retorik politik, tetapi pelan tindakan yang konkrit dan realistik untuk memperbaiki keadaan sedia ada.
“Jangan hanya bermimpi, sedangkan rakyat Kelantan masih bergelut dengan realiti perkhidmatan PBT yang jauh dari memuaskan. Jika mahu menjadikan sesuatu sebagai contoh, biarlah sesuatu yang benar-benar berkualiti, bukan sekadar syok sendiri,” tegas Hazmi.