ADS
mk-logo
Berita
Kumpulan alam sekitar gesa siasatan bebas terhadap RUU CCUS
Diterbitkan:  Mar 18, 2025 12:25 PM
Dikemaskini: 4:25 AM

Kumpulan alam sekitar, RimbaWatch menggesa supaya Rang Undang-Undang (RUU) Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) dihentikan dan disemak secara bebas.

Gesaan ini dibuat berdasarkan analisis mereka bertajuk ‘Kesan Alam Sekitar Inisiatif CCUS di Malaysia’, satu kajian yang menurut kumpulan tersebut, menimbulkan kebimbangan besar terhadap undang-undang yang dicadangkan kerana “gagal menangani isu-isu alam sekitar yang penting”.

Satu penemuan penting dalam analisis yang diterbitkan hari ini menjelaskan bagaimana RUU tersebut mempunyai kelompongan ketara dan bahagian yang mencerminkan undang-undang kontroversi seperti Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 dan Akta Hasutan 1948.

Dalam kenyataan yang mengiringi penerbitan analisis itu, RimbaWatch menegaskan bahawa hal tersebut memberikan kerajaan “kuasa cengkaman” terhadap siapa yang boleh didakwa di bawah undang-undang berkenaan.

“Walaupun dibingkaikan sebagai undang-undang kawal selia komersial dan alam sekitar, kami mendapati Rang Undang-Undang CCUS memberi kawalan menyeluruh kepada kerajaan dengan memastikan keputusan pendakwaan kekal tertumpu di bawah pengawasan menteri.

ADS

“Fakta bahawa peruntukan berkaitan keselamatan negara telah dimasukkan ke dalam Rang Undang-Undang CCUS — yang merupakan undang-undang ekonomi dan iklim — menimbulkan persoalan besar tentang akauntabiliti, penguatkuasaan dan sama ada orang awam mempunyai akses kepada saluran undang-undang jika operasi CCUS menimbulkan masalah,” tambahnya.

Menyokong bahan api fosil

Kumpulan itu turut menekankan Seksyen 48 Rang Undang-Undang itu, yang menyatakan bahawa mana-mana pendakwaan terhadap kesalahan memerlukan persetujuan bertulis pendakwa raya, yang masih belum dipisahkan peranannya daripada peguam negara yang dilantik oleh perdana menteri.

ADS

Dapatan lain daripada analisis itu termasuk dakwaan bahawa pelaksanaan CCUS di Malaysia lebih menjurus kepada mengeluarkan lebih banyak sumber bahan api fosil yang memanaskan bumi, berbanding pengurangan sebenar pelepasan karbon.

RimbaWatch juga menyatakan bahawa walaupun terdapat penekanan peraturan terhadap CCUS, tiada syarikat bahan api fosil atau agensi kerajaan telah menjalankan penilaian kesan menyeluruh terhadap projek CCUS bagi menilai kesan keseluruhan kitaran hayatnya.

Dengan menekankan bahawa pelaburan dalam CCUS menghalang pertumbuhan tenaga boleh diperbaharui kerana mengekalkan kebergantungan terhadap bahan api fosil, RimbaWatch menggesa supaya satu siasatan bebas peringkat kebangsaan dijalankan terhadap rang undang-undang tersebut.

Siasatan itu, katanya, perlu meneliti sama ada tekanan pihak korporat mempengaruhi keputusan perundangan.

Rang undang-undang di peringkat akhir

Prosedur siasatan itu juga perlu melihat sama ada jumlah pelepasan karbon dari projek CCUS selaras dengan komitmen Malaysia di bawah Perjanjian Paris.

Pada 5 Mac lalu, Sahabat Alam Malaysia (SAM) turut membangkitkan kebimbangan terhadap tindakan tergesa-gesa kerajaan dalam membentangkan RUU CCUS.

Mempertikaikan kecepatan kerajaan dalam meneruskan RUU itu, kumpulan alam sekitar tersebut mendakwa hanya satu sesi rundingan dijalankan dengan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli pada tahun lalu.

RUU tersebut diluluskan sebulat suara di Dewan Rakyat pada hari berikutnya, dan dijadualkan dibahaskan di Dewan Negara pada minggu hadapan sebelum boleh diwartakan sebagai undang-undang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS