Kerajaan negeri Sabah menafikan dakwaan yang ditimbulkan oleh tuntutan mahkamah yang difailkan baru-baru ini yang mendakwa Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor dan kerajaan negeri telah menyalahgunakan kuasa mereka berhubung isu lesen pembalakan.
Ini berlaku selepas dua pihak memfailkan saman terhadap Hajiji (gambar atas) dan kerajaan Sabah pada 12 Mac di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung dakwaan penyelewengan dalam jawatan awam.
Peguam Besar Sabah Brenndon Keith Soh berkata dakwaan yang dibuat adalah tidak berasas memandangkan prosiding undang-undang yang sedang berjalan antara pihak-pihak berkenaan dan kerajaan akan mengemukakan pembelaan menyeluruh.
“Ketua Menteri Sabah dan Kerajaan Negeri dengan tegas menafikan semua dakwaan penyelewengan dalam jawatan awam,” katanya seperti dilapor BorneoVox.
Tambahnya, dakwaan itu tidak berasas memandangkan prosiding undang-undang yang sedang berjalan antara pihak-pihak berkenaan dan kerajaan akan mengemukakan pembelaan menyeluruh.
“Kami akan bersungguh-sungguh menentang dakwaan ini dan tidak akan membenarkan dakwaan tidak berasas ini diteruskan tanpa dicabar,” katanya.
Soh juga mengesahkan kerajaan Sabah telah menerima writ saman pada 17 Mac daripada firma guaman Chin Jingulam & Associates, yang mewakili plaintif.
Menurut peguam plaintif, Chin Teck Ming, saman berkenaan difailkan bagi pihak Sabah Forest Industries Sdn Bhd dan Narendrakumar Chunilal Rugnath - dalam kapasiti masing-masing sebagai penerima dan pengurus.
"Writ Saman serta Pernyataan Tuntutan telah diserahkan kepada kedua-dua defendan secara penyampaian ke diri pada 17 Mac 2025 ke pejabat Ketua Menteri dan Peguam Besar Sabah,” kata Chin dalam satu kenyataan hari ini.
"Tuduhan utama yang dibangkitkan dalam kes ini adalah disebabkan oleh Ketua Menteri Sabah yang telah melakukan penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan sehingga menyebabkan pembatalan kontrak lesen pembalakan kepunyaan plaintif pertama dan memberikan kawasan pembalakan yang sepatutnya kepunyaan plaintif pertama kepada tiga syarikat yang lain seperti ternyata dalam pernyataan tuntutan.
"Tuduhan lain adalah seperti ternyata dalam pernyataan tuntutan yang telah difailkan dan diserahkan," katanya lagi.
Tuduhan lain yang dikemukakan antara lain meminta Mahkamah mengeluarkan:
i) deklarasi perisytiharan mengenai penyelewengan yang telah dilakukan oleh Ketua Menteri Sabah dalam kapasiti sebagai penjawat awam;
ii) deklarasi bahawa Ketua Menteri telah menyalahgunakan pejabat awam demi mendapat manfaat dna/ atau keuntungan sendiri;
iii) deklarasi bahawa Kerajaan Negeri Sabah telah secara liabiliti vicarious terhadap penyelewengan yang dilakukan oleh Ketua Menteri Sabah dan seharusnya membayar kesemua kerugian dan ganti rugi yang diperintahkan secara bersama dan berasingan;
iv) kerugian terhadap pengembalian yang dijangka daripada Perjanjian JualBeli Pelangi Prestasi Sdn Bhd;
v) gaji pekerja-pekerja dan tanggung jawab kewangan yang telah ditanggung atas kelakuan salah antara Ketua Menteri Sabah dan Kerajaan Negeri Sabah secara bersama dan berasingan;
vi) kos untuk tindakan yang dilaksanakan;
vii) kerugian faedah, pendapatan atau keuntungan sebanyak 5% daripada 18hb September 2021 ke 27hb Disember 2024 untuk item iv) di atas yang dianggarkan sejumlah RM1,413,821,980.50;
viii) kerugian am;
ix) ganti rugi tambahan dan/ atau ganti rugi hukuman terhadap kelakuan jahat, salah guna kuasa dan campur tangan dengan niat dalam operasi perniagaan SFI oleh Ketua Menteri Sabah yang telah mengakibatkan kerosakan nama baik, kesusahan tidak wajar dan kesukaran kewangan plaintif pertama;
x) faedah 5% terhadap jumlah anggaran RM1,413,821,980.50 atau seperti yang diperintahkan oleh Mahkamah;
xi) kos; dan
xii) apa-apa relief yang Mahkamah perintahkan.