Penulis dan penerbit buku, Ainon Mohd, memberi komitmen dan berjanji akan lebih berhati-hati dalam sebarang penulisan dan perkongsiannya pada masa akan datang.
Tampil memohon maaf susulan memuat naik hantaran menghina Nabi Muhammad SAW baru-baru ini, Ainon berkata dia akan sentiasa merujuk kepada pihak yang berautoriti dalam hal-hal berkaitan agama.
“Saya, Ainon Mohd, dengan penuh rasa hormat menerima teguran dan pandangan yang telah disampaikan oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam pertemuan yang berlangsung hari ini.
“Saya juga akur dengan nasihat yang diberikan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan Jabatan Mufti Negeri Selangor dalam perkara ini.
“Sehubungan dengan itu, saya telah menurunkan hantaran berkenaan dari platform media sosial dan ingin memohon maaf kepada semua pihak yang terkesan,” katanya dalam kenyataan media malam tadi.
Terdahulu Jakim mengadakan pertemuan dengan pengasas syarikat penerbitan itu turut disertai oleh pegawai dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan Jabatan Mufti Negeri Selangor.
Pihak polis dilaporkan menerima 13 laporan di seluruh negara berhubung kes berkenaan.
Sementara itu Ainon juga memberi komitmen kepada pihak berkuasa untuk memperkemas dan memperhalusi polisi penerbitan di media sosial, merujuk pakar dan menurunkan kandungan media sosial lain yang boleh dianggap sensitif.
Selain itu dia turut bersedia memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa atas apa-apa isu berbangkit sebelum ini.
“Saya menghormati usaha Jakim dalam memelihara kesucian agama Islam dan menjunjung tinggi kemuliaan junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
“Saya memahami kepentingan untuk lebih berhati-hati dalam berkongsi kandungan berkaitan Islam dan akan memastikan rujukan dibuat kepada pihak yang berautoriti sebelum menerbitkan sebarang penulisan di masa hadapan.
“Sekali lagi, saya memohon maaf atas kekhilafan yang berlaku dan menghargai teguran serta nasihat yang diberikan,” katanya.