ADS
mk-logo
Berita
Pemindahan ginjal babi kepada manusia di China harapan cerah buat pesakit
Diterbitkan:  Mar 18, 2025 8:00 AM
Dikemaskini: 12:00 AM

Pasukan perubatan China berjaya memindahkan ginjal khinzir yang diubah suai secara genetik kepada seorang pesakit uremia, menandakan detik penting klinikal dalam pemindahan organ rentas spesies, lapor Xinhua.

Pasukan perubatan dari Hospital Xijing Universiti Perubatan Tentera Udara memindahkan ginjal khinzir yang disunting gennya kepada seorang wanita berusia 69 tahun yang menghidap penyakit buah pinggang tahap akhir pada 6 Mac. Selepas aliran darah dipulihkan, ginjal yang dipindahkan itu bertukar menjadi merah jambu dan tidak lama kemudian mula menghasilkan air kencing.

Pada hari keenam selepas pembedahan, pesakit berada dalam keadaan stabil dengan fungsi buah pinggang yang baik, dan pengeluaran air kencingnya selama 24 jam memuncak pada 5,468 mililiter. Selain itu, tahap kreatinin serumnya, penunjuk biokimia utama untuk menilai fungsi buah pinggang, menurun ke paras normal pada hari ketiga, menunjukkan kejayaan awal pembedahan, menurut pasukan berkenaan.

Pesakit yang didiagnosis dengan kegagalan buah pinggang kronik lapan tahun lepas itu tidak dapat mencari penderma ginjal yang sesuai dan terpaksa bergantung kepada rawatan dialisis tiga kali seminggu. Seiring dengan perkembangan penyakitnya, komplikasi berkaitan dialisis mula muncul.

China dianggarkan mempunyai kira-kira 130 juta pesakit penyakit buah pinggang kronik, dengan jumlah mereka yang berada pada fasa akhir penyakit itu terus meningkat setiap tahun.

ADS

Menurut pasukan perubatan, pesakit akan menghadapi cabaran seperti penolakan imun, gangguan pembekuan darah dan jangkitan yang disebabkan oleh patogen.

Sekurang-kurangnya empat pemindahan ginjal khinzir kepada manusia telah dilaporkan setakat ini, semuanya di Amerika Syarikat. Pesakit yang menjalani pemindahan pada November lepas merupakan penerima organ khinzir paling lama hidup setakat ini, manakala pesakit keempat, yang menjalani pemindahan pada Januari tahun ini, telah bertahan selama lebih sebulan.

Penyelidik dari Hospital Xijing melakukan pemindahan pertama hati khinzir yang diubah suai secara genetik ke dalam pesakit yang mati otak pada April lepas. Sebulan kemudian, pasukan dari Hospital Gabungan Pertama Universiti Perubatan Anhui memindahkan hati khinzir yang diubah suai secara genetik ke dalam pesakit manusia hidup yang menghidap kanser hati yang teruk.

"Xenotransplantation boleh menjadi cara utama untuk menyelesaikan masalah kekurangan organ dan menawarkan harapan baharu kepada ramai pesakit," kata Dou Kefeng, yang mengetuai pasukan Hospital Xijing.

- Bernama-Xinhua


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS