Wanita Amanah Wilayah Persekutuan mengecam video muzik lagu berjudul 'Serumpun' yang dinyanyikan Mimifly sebagai bertentangan dengan ajaran Islam serta maksud sebenar Aidilfitri.
Ketuanya, Rafiza Askolani mendakwa klip video itu bukan sahaja mencemar kemuliaan bulan Ramadan, malah ia langsung tidak melambangkan kesucian hari raya Aidilfitri.
"Walaupun tema lagu raya tersebut untuk menunjukkan perpaduan masyarakat Nusantara dalam menyambut perayaan hari raya, namun mesej dan video muzik yang digarap jelas bertentangan dengan ajaran Islam serta maksud sebenar Aidilfitri.
"Sehubungan itu, apa yang dipaparkan dalam video muzik tersebut jelas bertentangan dengan nilai-nilai suci Islam serta memberi tafsiran yang salah tentang sambutan hari raya Aidilfitri," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Rafiza menggesa Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) dan Kementerian Komunikasi untuk bertemu Mimifly serta pasukan produksinya bagi memberi teguran dan penjelasan tentang sambutan Aidilfitri.
"Wanita Amanah Wilayah Persekutuan juga mencadangkan agar video muzik itu diturunkan dari media sosial kerana ia jelas menghina dan mengelirukan masyarakat.
"Meskipun permohonan maaf telah pun dibuat oleh penyanyi tersebut, namun video muzik berkenaan masih kekal berada di platform media sosial dan ia akan memberi tanggapan salah tentang kesucian agama Islam serta perayaan Aidilfitri," katanya.
Mimifly, memuat naik video berdurasi dua minit 53 saat itu di Youtube pada 14 Mac lalu.

Rafiza dalam kenyataannya turut mengulas mengenai pakaian Mimifly dalam muzik video itu, mengatakan penyanyi itu 'berkemban'.
Awal hari ini, Harian Metro melaporkan penyanyi itu telah memohon maaf atas videonya.
Dalam permohonan maafnya, Mimifly telah menjelaskan bahawa dia tertarik dengan keselesaan dan gaya estetika pakaian Melayu zaman dahulu.
Selain itu, Rafiza mengkritik Mimifly berhubung tarian yang menurutnya seakan-akan Dewi Durga - dewi agama Hindu yang digambarkan mempunyai tangan yang banyak.
Sebelum pengislaman pada zaman kesultanan, sebilangan orang Melayu beragama Hindu kerana pengaruh dari Asia Selatan.
Pengaruh Hindu dan Asia Selatan masih boleh dilihat dalam tarian dan pakaian tradisional Melayu serta perkataan Sanskrit dalam bahasa Melayu.
Rafiza menegaskan bahawa Aidilfitri bukan perayaan budaya atau kaum.
"Hari raya Aidilfitri itu sendiri di dalam Islam merupakan hari untuk membesarkan Allah dengan bertakbir dan bertahmid di samping menzahirkan kesyukuran kepada Allah SWT selepas sebulan berpuasa di bulan Ramadan,” tegasnya.
Dia menggesa semua artis supaya mempertimbangkan semua sensitiviti, termasuk yang berkaitan dengan Islam, sebelum menghasilkan karya mereka.