ADS
mk-logo
Berita
Guan Eng minta penyokong dukung kepimpinan Loke
Diterbitkan:  Mar 17, 2025 2:27 PM
Dikemaskini: 6:33 AM

Penasihat DAP yang baru dilantik, Lim Guan Eng mengambil sikap berlapang dada selepas pemilihan parti itu pada Ahad lalu menyaksikan pengaruhnya dalam parti semakin terhakis.

Dalam mesej yang disampaikan kepada para penyokong, Lim menyeru supaya mereka bersatu di bawah kepimpinan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dan terus memperkukuhkan parti.

“Tahniah kepada Loke kerana sekali lagi dilantik sebagai Setiausaha Agung kita dan kepada Gobind Singh Deo atas pelantikan sebagai Pengerusi yang baru.

“Semoga kedua-duanya berjaya dan yakinlah bahawa kita semua akan bersatu di bawah kepimpinan Loke. Ayuh terus mara bersama-sama untuk menjadikan DAP lebih kuat!” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Lim turut mengucapkan terima kasih kepada penyokong dan juga mereka yang tidak menyokongnya.

ADS

“Ramai yang meluahkan kebimbangan mengenai laporan berita tentang saya. Saya ingin mengambil sedikit masa untuk mengucapkan terima kasih kepada semua penyokong saya – dan juga kepada mereka yang tidak menyokong saya.

“Terima kasih atas keprihatinan dan dorongan anda. Saya amat menghargainya dari lubuk hati saya,” katanya.

Lim pernah memegang jawatan Setiausaha Agung DAP dari tahun 2004 hingga 2022 – satu tempoh yang panjang berikutan parti itu terpaksa mengadakan semula pemilihan 2012 sebanyak dua kali pada tahun 2013 dan 2017 atas arahan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

ADS

Pada tahun 2022, selepas mencapai had tiga penggal sebagai Setiausaha Agung, Lim telah dipilih sebagai Pengerusi DAP.

Namun begitu, popularitinya dalam parti semakin merosot – dengan spekulasi bahawa Loke berganding bahu dengan veteran parti, Nga Kor Ming untuk mengehadkan pengaruh Lim.

Keadaan ini memuncak apabila Lim hanya menduduki tempat ke-26 dalam pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) yang terdiri daripada 30 orang ahli pada Ahad lalu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS