ADS
mk-logo
Berita
Hadkan tempoh PM: Bersih tak faham bantahan Pemuda PN
Diterbitkan:  Mar 17, 2025 10:14 AM
Dikemaskini: 2:38 AM

Kumpulan pendesak pembaharuan pilihan raya, Bersih, hari ini menyatakan rasa hairan mereka terhadap sikap yang ditunjukkan oleh Pemuda PN berhubung cadangan kerajaan mengehadkan tempoh seseorang menjadi perdana menteri.

Menurut Bersih, NGO itu berasa lebih terkejut apabila yang menyuarakan pandangan berkenaan merupakan ahli parlimen sendiri.

Menurut pengerusinya, Faisal Abdul Aziz, berkata sekurang-kurangnya cadangan berkenaan merupakan usaha kerajaan mengelakkan risiko pemusatan kuasa apabila ada tokoh tertentu cenderung berkuasa terlalu lama.

“Maka ia mendedahkan berlakunya pelbagai salah guna kuasa oleh kerajaan khususnya perdana menteri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam Pemuda PN menzahirkan rasa tidak senang mereka dengan usaha Putrajaya mengehadkan tempoh seseorang menjadi perdana menteri kepada 10 tahun saja.

ADS

Cadangan itu dinyatakan oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, semasa berucap di Kongres Tahunan DAP di Shah Alam, Selangor.

Bagaimanapun untuk membolehkan langkah mengehadkan tempoh itu dilaksanakan, perlembagaan perlu dipinda dan mendapat sokongan daripada dua per tiga ahli Dewan Rakyat.

Ketua Dewan Pemuda PN, Afnan Hamimi Taib Azamudden, berkata kerajaan kini gigih mahu meminda perlembagaan agar ia dapat “mengikut selera nafsu” Putrajaya.

ADS

“Inilah keadaan negara kita sekarang. Nasib kita yang majoriti ditentukan oleh mereka yang asalnya minoriti,” tulisnya di Facebook.

Mengiringi kenyataan Ahli Parlimen Alor Setar merangkap Ketua Pemuda PAS Malaysia itu ialah laporan berita menyatakan gesaan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, agar cadangan Anwar berkenaan disokong oleh ahli parlimen.

Untuk membolehkan perlembagaan dipinda, usul berkenaan perlu mendapat sokongan sekurang-kurangnya 148 daripada 222 ahli Dewan Rakyat.

Faisal berkata apabila tempoh untuk menjadi perdana menteri dihadkan, seseorang yang dilantik ke jawatan itu akan berusaha melaksanakan program dan dasar dengan lebih cekap dan baik.

Langkah itu, katanya, akan menguntungkan rakyat secara menyeluruh.

“Sebagai ahli politik dan ahli parlimen, dasar baik ini harus didukung bersama terutama apabila ada kesediaan dan keberanian yang dizahirkan oleh pemerintah untuk dibawa ke parlimen,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS