ADS
mk-logo
Berita
Baidu lancar dua model AI baru untuk saingi DeepSeek
Diterbitkan:  Mar 17, 2025 9:01 AM
Dikemaskini: 1:01 AM

Syarikat teknologi China, Baidu, mengumumkan pelancaran dua model kecerdasan buatan (AI) baru semalam dan ia didakwa menawarkan prestasi setanding DeepSeek, tetapi lebih murah – pada harga separuh daripada kos chatbot tersebut – lapor agensi berita Jerman (dpa).

Menurut Baidu, model Ernie X1 direka untuk pemikiran logik, manakala Ernie 4.5 berfungsi sebagai model asas. Kedua-duanya boleh diakses secara percuma oleh pengguna individu menerusi platform ERNIE Bot.

Menurut dpa, Baidu merancang untuk mengintegrasikan model baru itu secara berperingkat ke dalam ekosistem produknya, termasuk enjin carian Baidu, aplikasi Wenxiaoyan dan beberapa perkhidmatan lain.

Awal tahun ini, syarikat pemula DeepSeek menarik perhatian ramai apabila mendakwa chatbotnya mampu menyaingi ChatGPT keluaran OpenAI dari AS dengan kos yang jauh lebih rendah.

Perkembangan itu menyebabkan ketidaktentuan dalam pasaran saham AS apabila para pelabur mula mempertikaikan kecekapan syarikat teknologi negara berkenaan.

ADS

Berpangkalan di Beijing, Baidu mula dikenali di China sebagai penyedia enjin carian.

Syarikat itu juga merupakan peneraju dalam teknologi pemanduan autonomi dan mengendalikan perkhidmatan teksi robot Apollo. Pada 2023, Baidu melancarkan versi pertama chatbot AI mereka, Ernie.

- Bernama/dpa


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS