Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke hari ini menegaskan bahawa parti itu tetap menyuarakan pelbagai isu yang menjadi kebimbangannya meskipun telah menjadi sebahagian kerajaan.
Berucap ketika menyampaikan ucapan dasar pada Kongres Kebangsaan DAP ke-18, Loke berkata hanya berlaku perubahan dalam cara parti itu menyatakan pendiriannya.
"Biar saya jelaskan pada hari ini. Hari ini kita berada dalam kerajaan... ada cara untuk bersuara. Bukan sahaja bersuara, kena berdialog, bermesyuarat...paling penting kena..kalau hanya bersuara tapi masalah tak selesai apa gunanya?
"Tak ada satu isu kita tak selesaikan...kita bawa, dan PM bawa ke meeting (mesyuarat kabinet),” katanya kepada 3,204 perwakilan dan pemimpin yang berhimpun di Pusat Konvensyen Ideal, Shah Alam.
Loke, yang juga Menteri Pengangkutan, turut menegaskan bahawa DAP kini boleh membawa isu berbangkit ke mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang turut hadir pada kongres parti itu hari ini.

Loke memberikan contoh isu kontroversi pindaan Perlembagaan yang menarik balik pemberian kewarganegaraan secara automatik kepada kanak-kanak yang diabaikan.
Menurutnya, beberapa ahli parlimen DAP menentang pindaan tersebut kerana menganggapnya tidak berperikemanusiaan.
Katanya, hanya empat ahli parlimen DAP bersetuju dengan pindaan itu manakala yang lain membantah.
“Saya beritahu mereka, jika saya gagal meyakinkan perdana menteri, saya akan letak jawatan sebagai menteri esok dan benarkan ahli parlimen kita mengundi mengikut pertimbangan masing-masing,” katanya.
Loke menjelaskan bahawa dia telah membawa perkara itu kepada perhatian Anwar, yang kemudiannya segera menyelesaikan isu berkenaan dengan mengarahkan Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail supaya menangguhkan pindaan tersebut.
Pada Mac tahun lalu, kabinet bersetuju membatalkan cadangan Kementerian Dalam Negeri bagi meminda Perlembagaan Persekutuan selepas menerima bantahan hebat berkaitan isu kewarganegaraan kanak-kanak yang diabaikan.
Loke menyifatkan kejayaan itu sebagai contoh hubungan baik dengan pengerusi PH itu.
Setiausaha Agung itu turut menegaskan komitmen DAP untuk terus menyokong Anwar sebagai perdana menteri, dengan menyatakan bahawa tiada "calon kedua" bagi jawatan tersebut.
"DAP komited untuk terus menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk terus memegang jawatan Perdana Menteri selepas PRU ke-16," katanya.
Terdahulu, Pengerusi DAP Lim Guan Eng juga menyuarakan sokongan parti itu terhadap Anwar, namun menegaskan bahawa DAP tidak akan menjadi “yes-man”.