Pemuda Bersatu (Armada) hari ini mengecam sayap pemuda PH ekoran kenyataan mereka menganggap pembangkang semasa sebagai paling gagal dalam sejarah negara.
Ketua Armada, Hilman Idham, berkata Angkatan Muda Harapan (AMH) wajar bercermin diri sendiri sebelum membuat kenyataan seperti dikeluarkan pemimpin baru mereka, Wooo Kah Leong.
“Sebagai Ketua AMH yang baru berusia tiga hari, beliau wajar menilai prestasi kerajaan hari ini terlebih dahulu. Cermin diri sendiri.
“Jika kami ingin senaraikan, ada lebih 1,001 alasan untuk rakyat menegaskan kerajaan hari ini gagal.
“Seluruh rakyat tahu, kerajaan hari ini penipu dan tak menepati janji. Cakap tak serupa bikin,” katanya.
Hilman yang juga Adun Gombak Setia berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Woo pada 14 lalu yang mengulas sikap ditunjukkan PN dalam pelbagai isu semasa, termasuk rundingan bagi mendapatkan peruntukan buat ahli parlimen pembangkang.
Dalam kenyataannya, Woo berkata, PN sebenarnya tidak berniat bersungguh-sungguh mahu mendapatkan peruntukan tersebut sebaliknya memberikan pelbagai helah.
“Adakah PN hanya sibuk berbising-bising di dalam Dewan Rakyat sedangkan pada masa sama tidak pernah pun menghantar surat balas untuk mengadakan rundingan peruntukan biarpun dipesan berkali-kali oleh perdana menteri?
“Maka dengan itu boleh dikatakan PN adalah pembangkang yang paling tidak bertanggungjawab dan teruk dalam sejarah negara,” katanya.
Menurut Hilman antara isu yang gagal ditangani kerajaan sekarang ialah masalah pengurusan ekonomi dan kewangan negara, inflasi, hak asasi manusia dan keterjaminan makanan.
Semua masalah itu, katanya, memperlihatkan bagaimana kerajaan tidak mampu mentadbir negara dan mengurus rakyat.
“Sebagai ketua pemuda, kita seharusnya bawa budaya politik baru yang jauh lebih matang dan konstruktif.
“Tak perlu banyak bercakap, sebaliknya lebih baik kita bekerja demi kepentingan rakyat dan negara.
“Kumpul keberanian kamu, tegur perdana menteri, pastikan PH tepati janji,” katanya.