Parti Cinta Sabah, yang merupakan komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS), belum membuat keputusan sama ada akan meletakkan calon ataupun sebaliknya pada pilihan raya negeri ke-17 yang akan diadakan tahun ini.
Ditubuhkan pada 2013, Presiden PCS Anifah Aman telah memimpin parti itu sejak pilihan raya negeri terakhir pada 2020. Ketika itu, PCS bertanding di 72 daripada 73 kerusi DUN.
Setakat ini PCS masih belum memenangi satu kerusi Parlimen mahupun DUN dan Anifah telah menyatakan pendiriannya bahawa dia lebih cenderung untuk menyokong GRS daripada bergerak secara solo.
"Peranan PCS sekarang adalah kita menyokong dalam GRS. Soal (pengagihan) kerusi tidak penting sebenarnya. Soal menang yang lebih penting. Tidak ada gunanya saya menang kalau parti kalah.
"Jadi kalau tiada kerusi pun tiada masalah sebenarnya. Saya sudah (pernah) jadi ahli Parlimen, sudah (pernah) jadi menteri, senator," katanya seperti dipetik Berita Harian.
Kalau boleh berkhidmat lagi (untuk) membantu, saya bantu. Kalau tidak, saya kata terima kasih banyak," katanya selepas program Majlis Iftar Invest Sabah Berhad di Kota Kinabalu, malam tadi.
Kata bekas ahli Parlimen Kimanis itu lagi, dia masih belum membuat keputusan sama ada untuk bertanding semula di kerusi DUN Bongawan atau tidak.
Pada 2020 Anifah, adik kepada Yang Dipertua Negeri Sabah Musa Aman, tewas kepada Daud Yusof dari Warisan dalam pertandingan empat penjuru untuk kerusi Bongawan, yang terletak di bawah kerusi Parlimen Kimanis.