ADS
mk-logo
Berita
Loke ikrar rombakan besar kepimpinan DAP jika dipilih semula

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke menjanjikan rombakan "berani dan besar" bagi Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu jika dia dipilih semula dalam pemilihan parti Ahad ini.

Dia berkata, jika dipilih semula, CEC akan menyaksikan rombakan besar-besaran bagi membolehkan pemimpin berbeza mengambil alih peranan baru.

Bagaimanapun, Loke menegaskan bahawa ia tidak menyasarkan kepada mana-mana individu atau kedudukan tertentu.

“Kita akan melihat rombakan yang ketara dan desakan untuk kepimpinan yang lebih muda, tetapi ini tidak bermakna mengorbankan sesiapa.

“Ia hanya mengenai pemimpin yang mengambil peranan berbeza pada masa yang berbeza,” katanya dalam temu bual bersama media di ibu pejabat DAP di Kuala Lumpur, hari ini.

ADS

Dia menyatakan keyakinan bahawa semua pemimpin parti akan menerima perubahan ini.

“Keadaan yang berbeza memerlukan keperluan dan strategi yang berbeza, dan saya percaya setiap pemimpin akan memahami keperluan untuk pelarasan sedemikian,” kata Menteri Pengangkutan itu.

Loke menyatakan walaupun itu adalah rancangannya untuk parti, ia bergantung kepada sama ada dia dipilih semula dan keputusan pertandingan kepimpinan.

ADS

Dia berkata cadangan ini didorong oleh kepercayaan bahawa walaupun DAP kini berada dalam kedudukan kukuh dengan lebih 100 wakil rakyat, parti itu tidak boleh leka.

Sebaliknya, dia berkata DAP mesti sentiasa memastikan pertumbuhan dan kekuatan yang berterusan.

Pada 7 Mac, Malaysiakini melaporkan bahawa Loke telah bertemu dengan pengerusi parti Lim Guan Eng dalam usaha untuk memujuknya untuk tidak mempertahankan jawatan pengerusi, meski mengekalkan jawatannya sebagai ahli CEC.

Keesokan harinya, Loke mengesahkan pertemuan itu tetapi enggan mendedahkan butiran perbincangan.

Semasa temu bual media hari ini, Loke sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada media atas liputan, analisis dan ulasan terhadap DAP sejak sebulan lalu.

Bagaimanapun, dia menegaskan bahawa kongres parti dan pemilihan kepimpinan bukan semata-mata mengenai Lim.

"Tidak adil kepada beliau (Lim) juga. Pemilihan parti bukan hanya tentang individu, tetapi mengenai keseluruhan parti, hala tuju masa depan, dan bagaimana kita mengharungi cabaran yang akan datang," kata Loke.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS