ADS
mk-logo
Berita
Bergurau beg kawan ada bom di lapangan terbang, warga emas didenda RM100
Diterbitkan:  Mar 14, 2025 1:58 PM
Dikemaskini: 5:58 AM

Gara-gara bergurau beg rakan mengandungi bom di lapangan terbang, seorang lelaki warga emas didenda RM100 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di Balik Pulau hari ini atas pertuduhan menggugat ketenteraman awam, Selasa lepas.

Mengikut pertuduhan, Ng Kok Yeow, 64, didakwa dengan sengaja memaklumkan seorang petugas Malaysia Airlines bahawa terdapat bom dalam beg rakannya dan tertuduh mengetahui bahawa kata-kata itu mungkin boleh menggugat ketenteraman awam.

Peniaga itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah kaunter daftar masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Bayan Lepas pada 10.30 malam, 11 Mac lepas.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 (Akta 336) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100.

Ng membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Chia Huey Ting.

ADS

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya R Lushani manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Hazarul Iqram Rozahan.

Pada Rabu lepas, Ketua Polis Daerah Barat Daya ACP Sazalee Adam dilaporkan berkata seorang lelaki tempatan secara berseloroh mendakwa bagasi milik rakannya yang berusia 60 tahun mengandungi bom ketika pemeriksaan barang di kaunter daftar masuk LTAPP bagi menaiki penerbangan ke China.

Bagaimanapun, Sazalee berkata pemeriksaan lanjut mengesahkan tiada bahan berbahaya dijumpai dalam bagasi mereka, namun kedua-duanya direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS