ADS
mk-logo
Berita

Rombakan penuh kepimpinan tertinggi Sapura Energy Bhd (Sapura Energy) adalah satu daripada syarat yang ditetapkan oleh Putrajaya sebelum kerajaan bersetuju menyalurkan RM1.1 bilion ke dalam kantung syarikat terbabit.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berkata suntikan tunai melalui syarikat tujuan khas di bawah Kementerian Kewangan itu bukan bertujuan untuk menyelamatkan syarikat dan pengurusan berkaitan.

“Ini langkah untuk selamatkan syarikat besar dengan pengurusannya (tetapi) pengurusan kanan, pengerusi - semua mesti keluar.

“Itu syarat kita, mesti ganti dengan pengurusan baru.

ADS

“Kalau ada permasalahan yang melibatkan keperluan siasatan, itu diteruskan, itu bukan urusan kita,” katanya.

Anwar yang juga menteri kewangan berkata demikian pada perhimpunan bulanan bersama kakitangan kementerian terbabit di Putrajaya hari ini.

Dia menambah, sebelum dana tersebut disalurkan kepada Sapura Energy, audit forensik sudah dijalankan manakala siasatan terhadap syarikat terbabit sedang berjalan.

Anwar juga merujuk perdebatannnya dengan Najib Razak - ketika itu mejadi perdana menteri - pada tiga tahun lalu yang mengkritik cadangan kerajaan menyelamatkan Sapura Energy.

ADS

Semasa perdebatan itu, kata Anwar, dia menolak langkah kerajaan menyelamatkan syarikat terbabit kerana pengurusannya masih sama dan mereka memperoleh pendapatan berjuta-juta ringgit manakala tiada audit forensik dilaksanakan.

"Dia (pengkritik) kata dulu Anwar memang menentang bailout.

“Memanglah kalau saya diberi pilihan, saya tidak senang dengan cara kita selamtakan syarikat-syarikat besar (ketika ada) puluhan ribu syarikat kecil yang kadang-kadang terlantar tidak dipedulikan.

"Tetapi dalam kes ini, kita kena tahu (keadaan sebenar). Boleh tegur, kritik dan serang. Ia bukan penyelamatan seperti yang direncanakan dulu.

"Kita mulakan dengan audit forensik, kenal pasti apa permasalahan, siasat kalau ada penyelewengan, salah guna kuasa, ketelanjuran.

"Saya semak dua tiga hari lalu, (siasatan) diteruskan. Itu bukan usuran kita. Kita hanya minta siasatan jadi semua agensi yang terlibat harus siasat apakah ada keterlanjuran," katanya.

Harap untung, boleh bayar semula

Dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas ucapan itu, Anwar berkata, dalam penstrukturan semula yang dijalankan, pemegang saham utama sebelum ini tidak lagi terlibat dalam pengurusan Sapura Energy, dan pasukan pengurusan baru yang profesional sudah ditempatkan.

ADS

Walaupun tidak dinamakan, pemegang saham utama dalam syarikat itu ialah bekas ketua pegawai eksekutifnya, Shahril Shamsuddin - yang bersara pada 2021.

Abangnya, Shahriman Shamsuddin masih menganggotai lembaga pengarah.

Tambah Anwar kerajaan kemudian menggunakan khidmat firma juruaudit luar, Ernst & Young, untuk meneliti keadaan syarikat berkenaan.

"Semua peraturan dijalankan secara telus sebelum kerajaan membuat keputusan ini (menyuntik RM1.1 bilion),” kata Anwar.

Ahli Parlimen Tambun berkenaan menyatakan keputusan untuk menyuntik dana sebesar itu tidak mudah kerana dia sendiri menjadi penentang kuat sebarang langkah menggunakan wang negara bagi menyelamatkan sesebuah syarikat.

Katanya pendirian tegas itu boleh dilihat pada 1997 dan 1998 apabila dia menentang langkah menyelamatkan sebuah syarikat perkapalan "yang melibatkan anak PM".

Ketika itu, tambah Anwar, kerajaan menyelamatkan individu tertentu yang didakwanya hidup mewah dengan dilengkapi segala kemudahan namun tidak cekap menguruskan syarikat sehingga ia menyebabkan kerugian besar.

Bebanan itu, katanya, kemudian ditanggung kerajaan tanpa sebarang syarat dan berbeza daripada apa dilaksanakan sekarang.

Menegaskan dana melalui Malaysia Development Holding Sdn Bhd (MDH) itu untuk membayar kira-kira 2,000 vendor Sapura Energy, Anwar berkata, suntikan tersebut boleh dianggap sebagai pinjaman dan perlu dibayar semula pada masa depan.

"Apakah dana ini dana hangus? Tidak.

“Apa yang dilakukan ialah suntikan ini akan dijadikan modal pinjaman supaya pengurusan baru mudah-mudahan akan mengurus dengan lebih baik, mendapat keuntungan dan bayar semula dana suntikan RM1.1 bilion," katanya.

Dia juga menjelaskan dalam kenyataan sama, semua dapatan daripada audit forensik itu akan dikongsikan dengan agensi penguatkuasaan berkaitan, termasuk Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sebelum keputusan dibuat sama ada tindakan susulan perlu diambil atau tidak.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS