ADS
mk-logo
Berita
Pantun ‘kaki tersangkut’ - PAS cabar DAP, Rafizi jawab soalan 'bailout'
Diterbitkan:  Mar 12, 2025 2:24 PM
Dikemaskini: 7:07 AM

Pemimpin PAS mengkritik amalan "bailout" yang diteruskan oleh kerajaan Madani walaupun sebelum ini pernah ditentang keras oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim ketika menjadi ketua pembangkang.

Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman, berkata ia sekali gus menimbulkan persoalan berkaitan aspek tatakekola amalan ‘bailout Madani’.

"Apakah rasional dan merit terhadap penyaluran dana awam berjumlah RM1.1 bilion ini kepada sebuah syarikat yang berdepan kerugian dan tidak berdaya saing?

"Adakah suntikan pelaburan ini melibatkan dana awam yang telah diperuntukkan di dalam Belanjawan 2025?

ADS

"Sedangkan dalam perincian yang dinyatakan oleh Menteri Kewangan Kedua, sejumlah RM7.063 bilion suntikan modal telah diperuntukkan bagi membiayai komitmen kewangan MOF Inc melibatkan beberapa projek dan syarikat.

"Adakah tindakan ‘bailout’ ini merupakan keputusan jemaah menteri secara konsensus?," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Awal hari ini, Malaysiakini melaporkan Anwar yang kini bergelar perdana menteri dan juga menteri kewangan telah memberikan Sapura Energy talian hayat RM1.1 bilion.

Dalam pemfailan Bursa Malaysia semalam, Sapura Energy mengumumkan ia telah menerima RM1.1 bilion sebagai pelaburan daripada Malaysia Development Holding Sdn Bhd (MDH) - syarikat tujuan khas di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan.

ADS

Pelaburan itu akan digunakan secara eksklusif untuk membayar hutang syarikat minyak dan gas itu kepada 2,000 vendornya.

"Vendor Malaysia kami kebanyakannya adalah perusahaan kecil dan sederhana yang telah mengalami kesulitan kewangan yang ketara semasa dan selepas pandemik Covid-19 dan sentiasa menjadi hasrat kami untuk menyelesaikan sepenuhnya hutang tertunggak kepada mereka," kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sapura Energy Zamri Jusoh dalam pemfailan itu.

Mengulas lanjut, Syahir berkata apakah pemimpin DAP tahu mengenai keputusan kerajaan memberikan "bailout" tersebut.

Katanya, pemimpin DAP seperti Lim Guan Eng dan juga Lim Kit Siang wajar menjawab perkara ini kerana mereka konsisten menentang amalan 'bailout'.

"Kalangan menteri daripada parti DAP pastinya terpanggil untuk menjawab persoalan ini kepada Pengerusi DAP, YB LGE (Lim Guan Eng), yang kuat menentang amalan ‘bailout’ sejak kepimpinan Lim Kit Siang.

"Adakah YB Rafizi (Ramli) sebagai Menteri Ekonomi bersetuju dengan langkah ‘bailout’ terhadap Sapura Energy kali ini?" soal Syahir.

Ini sedangkan, menurut Syahir, Rafizi adalah individu yang paling lantang menentang cadangan Najib Razak pada 2022.

Ketika itu, Rafizi yang juga naib presiden PKR menjelaskan dia tidak mempunyai pengaruh untuk menentang keputusan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2018 yang mengambil langkah menyuntik dana Permodalan Nasional Berhad (PNB), menyelamatkan Sapura Energy Berhad.

ADS

Rafizi tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan ketika itu yang dipimpin Dr Mahathir Mohamad. tetapi dia mendakwa dirinya tidak mempunyai pengaruh, jawatan atau kedudukan di dalam kerajaan PH, ketika itu.

Langkah menyuntik dana PNB untuk menyelamatkan Sapura ketika itu satu lagi keputusan pentadbiran Mahathir yang saya tidak bersetuju, kata Rafizi.

Syahir mengakhiri kenyataannya dengan menjual serangkap pantun buat pemimpin PH yang dibidasnya itu.

“Apa guna melompat pagar,

Bila kaki awak tersangkut;

Apa guna bercakap besar,

Bila janji tidak diikut.”


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS