ADS
mk-logo
Berita
Woo Kah Leong kini ketua baru sayap Pemuda PH
Diterbitkan:  Mar 11, 2025 7:30 PM
Dikemaskini: 11:30 AM

Ketua Jawatankuasa Eksekutif Kebangsaan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Woo Kah Leong dipilih sebagai Ketua Angkatan Muda Harapan yang baru.

Angkatan Muda Harapan (AMH) dalam kenyataan berkata pemilihan Woo itu dibuat menerusi satu mesyuarat membabitkan semua sayap pemuda parti komponen PH hari ini.

Kenyataan itu turut merakamkan penghargaan kepada bekas ketua, Dr Kelvin Yii Lee Wuen atas jasa dan bakti beliau sepanjang menerajui kepimpinan itu.

"Kepimpinan beliau (Yii) telah menjadi tonggak penting dalam memperjuangkan aspirasi generasi muda dan memperkukuhkan peranan pemuda dalam politik arus perdana.

"Dengan kepimpinan baru ini, AMH komited meneruskan agenda reformasi dan bertekad untuk memperjuangkan hak dan kebajikan anak muda demi memastikan Kerajaan Perpaduan dan PH terus mendukung suara anak muda dan kekal sebagai pilihan utama generasi muda," menurut kenyataan itu.

ADS

Pada masa sama, AMH memaklumkan mereka akan menggembleng seluruh tenaga bagi memastikan kemenangan calon kerajaan dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Ayer Kuning, Perak dan calon-calon PH pada Pilihan Raya Negeri Sabah yang akan datang.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS