ADS
mk-logo
Berita
Loke akui jumpa Guan Eng, enggan dedah butiran perbincangan
Diterbitkan:  Mar 8, 2025 5:45 PM
Dikemaskini: 9:45 AM

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke hari ini mengelak menjawab secara langsung apabila ditanya oleh media sama ada dia cuba memujuk Lim Guan Eng daripada bertanding semula untuk mempertahankan jawatan pengerusi parti.

Loke dilapor mengakui dia mengadakan pertemuan dengan Lim minggu lalu, namun menegaskan adalah perkara biasa untuk kedua-dua mereka mengadakan perbincangan mengenai hal parti.

Menteri pengangkutan itu juga enggan mendedahkan kandungan mesyuarat mereka baru-baru ini, dengan berkata adalah tidak perlu untuk mendedahkan perbincangan mereka kepada orang ramai.

"Saya sering bertemu dengan Lim Guan Eng, dan memang, kami bertemu minggu lalu. Dia adalah pengerusi kebangsaan parti, dan saya setiausaha agung. Ia adalah perkara biasa untuk kita membincangkan masa depan parti dan pemilihan dalaman.

“Mengenai butiran perbualan kami, tidak perlu didedahkan kepada umum,” katanya, seperti dipetik China Press.

ADS

Loke menjawab soalan media ketika ditemui selepas satu acara di Seremban, yang diadakan sempena Hari Wanita Antarabangsa.

Semalam, Malaysiakini melaporkan bahawa Loke telah bertemu Lim dalam usaha memujuknya daripada mempertahankan jawatan pengerusi.

Memetik sumber yang rapat dengan perkara itu, percubaan itu dikatakan bertujuan untuk meredakan ketegangan dalam parti.

Bagaimanapun, menurut sumber dalam parti, Lim tetap dengan pendiriannya, dan memberitahu Loke bahawa dia akan bertanding untuk pemilihan semula walaupun berisiko menghadapi kekalahan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS