Dzulkefly Ahmad dan Najib Razak sedang membincangkan kemungkinan penyelesaian kepada saman fitnah RM5 juta menteri kesihatan itu terhadap bekas perdana menteri berkenaan.
Peguam Najib, Farhan Shafee mengesahkan kedua-dua pihak sedang membincangkan potensi penyelesaian yang dikaitkan dengan dakwaan nepotisme melibatkan anak perempuan Dzulkelfy.
"(Kami) menuju penyelesaian cara baik. Pihak-pihak telah berbincang untuk sekian lama," kata Farhan kepada media selepas prosiding dewan.
Peguam defendan menambah bahawa mahkamah sivil telah menetapkan 7 April untuk mengemas kini pengurusan kes mengenai sebarang kemungkinan penyelesaian.
Pada 31 Dis 2021, Dzulkefly yang memfailkan saman itu atas kapasiti peribadi mendakwa, Najib telah memuat naik satu hantaran fitnah di Facebook pada 24 Ogos 2020, mengenai isu kronisme, berserta satu lampiran paparan skrin artikel Sinar Harian bertarikh 28 Jan 2019 dengan gambar wajah plaintif.
Dakwanya, kenyataan itu antaranya membawa maksud plaintif mengamalkan kronisme dengan penawaran jawatan atau lantikan kepada saudara-mara, tanpa melalui apa-apa penilaian objektif dan keupayaan terhadap sesuatu jawatan dalam syarikat-syarikat kerajaan atau swasta.
Plaintif mendakwa Najib telah menerbitkan hantaran fitnah itu dengan niat untuk menyerang peribadinya, menjatuhkan maruah serta mengaibkannya, dan ia adalah bermotifkan politik yang secara nyata berniat untuk memfitnah serta menjejaskan reputasinya.
Oleh itu, plaintif memohon perintah injunksi untuk menghalang defendan atau ejen-ejennya meneruskan penerbitan atau menyebarkan hantaran tersebut dalam sebarang cara, perintah untuk defendan membuat permohonan maaf secara bertulis yang diterbitkan di akaun Facebooknya dan dihebahkan di akhbar tempatan pilihannya dalam tempoh tujuh hari dari tarikh perintah, selain memohon ganti rugi am, teruk, teladan dan lain-lain relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Najib dalam pernyataan pembelaannya yang difailkan pada 29 Mac 2022 menafikan dakwaan itu, dengan menyatakan hantaran mengenai isu kronisme di akaun Facebooknya tidak merujuk kepada Dzulkefly, sebaliknya kepada gabungan parti Pakatan Harapan (PH).