Selepas terawih, saya dan Ungu bertemu di Bangi.
“Puasa-puasa ini masih banyak kes ya Tuan?”
Ungu yang menghirup kopi edisi Lydia menyahut dengan tawa.
Barangkali sebagai tanda ibadah puasa tidak menghalang sebarang tugas Pegawai SPRM, “Syaitan berehat ya, tapi perasuah dan penerima rasuah nampaknya tidak reti rehat.
“Malah kami ada beberapa kes perangkap.”
Ungu meneguk kopinya lagi.
Di bulan Ramadan, cabaran pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berganda.
Menurut Ungu; cuaca yang panas, rasa lapar dan dahaga, selain kerja-kerja lasak yang mereka lakukan tentu sahaja menuntut kawalan emosi tinggi.
Ungu masih belum lama di SPRM, pun dia mempunyai beberapa cerita dan pengalaman yang sayang jika tidak dirakamkan.
“Pernah sekali saya sampai muntah dan terpaksa untuk tidak berpuasa. Ini kerana saya masih baharu, dan belum biasa dengan persekitaran penguatkuasaan yang tegar.”
Ungu memejam mata, barangkali cuba mengenang kembali pengalaman tersebut.
Saya sengaja membiarkan sahaja dia mencari-cari jejak kenangan itu.
Pokoknya untuk seorang pegawai SPRM, setiap pengalaman yang ada adalah advencer, justeru ia bukan sekadar kerja.
Di sebuah desa, Ungu beroleh maklumat bahawa ada pihak berkuasa curang sedang galak memeras gajian pekerja asing.
Meskipun pemerasan itu tidak sampai ribu-ribuan tetapi oleh sebab acap kali berlaku imej negara kian rosak.
Malah pemerasan sedemikian sudah melangkau hak asasi manusia.
Pihak berkuasa yang ’pau’ pekerja asing
Kes itu tampak kecil tetapi menurut Ungu, kes-kes kecil begini cenderung menjadi besar jika tidak dibasmi.
”Nampaknya seperti hal yang lumrah. Itulah yang harus dicegah. Supaya rasuah, penyelewengan dan korupsi tidak menjadi satu yang fitrah.
“Kesnya mungkin kedengaran biasa.
“Ada pihak berkuasa yang ’pau’ pekerja asing, ada pekebun berani melaporkan kepada kami, dan kami pun membuat umpan atau perangkap untuk menahan sang dalang pihak berkuasa curang.”

Di tengah cuaca panas, terik berbahang, ditokok matahari memuncak di tiang langit, Ungu bersertakan beberapa teman pegawainya ditugaskan mencari saksi untuk kes pemerasan ini.
Mereka perlu mendapatkan beberapa orang buruh dari Indonesia sebagai saksi mata.
Untuk itu mereka harus meranduk kebun sayuran di desa yang kumuh dan mencabar itu.
“Ada dalam kalangan buruh ini sudah luput permit mereka. Itulah yang membolehkan mereka diperas.
“Sasaran kami ialah mereka yang memeras, yakni pihak berkuasa curang; dan bukan buruh itu.
“Jadi kami perlu masuk ke dalam kebun yang kadang-kala rasa tiada penghujung dan tidak kita tahu mana sempadannya.”
Tengah hari merembang bulan Ramadan yang berkuap dan serasa menyiat kulit amat menyeksa untuk Ungu.
Dahaga menggaru menggaruk tekak menjadikannya letih lesu.

Mereka sudah mengharung semak kebun yang seakan tiada habisnya itu penuh waspada.
Dan saat ternampakkan kumpulan buruh, Ungu dan kawan-kawannya berteriak memanggil.
Oleh salah faham yang mana buruh itu menyangkakan mereka adalah kumpulan serbuan Pegawai Imigresen, pekerja asing ini bertempiaran melarikan diri.
Ungu terpaksa ikut berlari untuk menenangkan mereka, sembari melaungkan yang mereka bukan datang untuk menahan tetapi untuk beroleh maklumat.
Lebih laju mereka berlari lebih pantaslah dia juga harus menurut.
Kejar-mengejar di tengah hari puncak di dalam kebun sayuran yang tidak rata tanahnya itu hampir-hampir membuatkan Ungu mengalah.
Dan dia muntah di sela jalan beralun.
“Pegawai kami yang lain ada yang berusia, jadi saya yang dikira muda tidaklah boleh menunjuk lemah dan perlu mengejar buruh-buruh itu.”
“Dapat?” soal saya.
Ungu ketawa. Entah apa yang lucu.
“Tidak, mereka berlari seperti pelesit. Lagipun kebun itu dunia mereka. Maka mudah mereka menyusup.
“Jadi kami memilih untuk menunggu. Setelah dipujuk taukeh atau mandur, barulah mereka datang.”
“Kebun sayur apa tuan?” Saya mengesat krim latte terlekat di misai.
“Kebun sayur kacang panjang.” Ungu menyambung ketawa ingkak.
Lari lempar wang
Dalam satu operasi lain, cerita Ungu lagi; seorang penguatkuasa yang disangka memeras dikejar oleh mereka.
Dek terlalu menggelabah, penguat kuasa tersebut melemparkan wang bertaburan di atas jalan, dan helai wang jatuh terselit di antara rak minum di sebuah gerai berdekatan.
“Apa yang berlaku kepada wang ini setelah dibawa pulang ke pejabat SPRM?”
Ungu menyeluruhi saya, “Soalan yang baik, masyarakat mesti tahu kedudukan wang ini.
“Kami panggil wang ini sebagai ‘Wang Bertanda’ di mana setiap not wang akan dicatit pada satu borang. Dan dipelihara.
“Wang ini hatta kadang beribu dan berjuta keping akan dibawa ke pejabat. Kami taipkan nombor siri wang itu setiap satu. Kadang memang memakan masa.
“Rasanya kalau untuk jumlah 70 juta ringgit akan memakan masa seminggu. Ya, tengok jugalah berapa ramai staf yang ada untuk menolong. Wang ini adalah bukti kes.
“Bila pegawai kita merakam percakapan orang tertuduh dan saksi, kita perlu merujuk semula setiap helai wang bertanda sekian sekian dengan nombor siri.”
Mendadak Ungu kelihatan terganggu, dan dia seakan merenung kosong di hadapan. Saya yang tercokol di hadapan diterpa kemusykilan.
“Itu kes biasa yang dihadap kami hari-harian. Pun, ada juga kes yang luar biasa. Dan pengalaman Ramadan itu juga menginsafkan.”
“Kes ribu-riban, juta-juta dan menginsafkan?” tanya saya lebih inginkan kepastian.
Ungu bercerita, kes tersebut adalah satu projek khas yang dikerjakan Perisikan SPRM sekian lama.
Ia melibatkan dua orang penguat kuasa besar di agensi berbeza, yang dalam sehari terdapat dua tangkapan agam dilakukan.
“Kami melakukannya di bulan puasa. Dan ia berlaku dalam sehari. Mungkin dapat saya katakan kerja kami itu antara dua sahur dan satu kali berbuka.
“Setelah tangkapan itu pula kami perlu mengira duit-duit rasuah tersebut. Memang ramai antara kami yang lunyai kerana berpuasa…”
“Dicatat setiap nombor sirinya?” Saya lebih tertarik dengan apa yang terjadi pada duit-duit haram tersebut.
Ungu angguk, “…dan menginsafkan…” ujar Ungu lebih menekankan pengalaman tangkapan tersebut membawa kepada kesedaran kerohanian yang melongokan.
Minggu pertama puasa
Begini, dia masih mengingat minggu pertama puasa tersebut demikian mendera.
Awal Ramadan umat sudah diheret cuaca panas yang cukup membuat kepala berdenyut.
Ketua cawangan memberi taklimat mereka akan terlibat dalam satu projek besar di mana intipan telah dilakukan berbulan lamanya, dan hanya menanti untuk ‘strike’.
“Sehari sebelum projek besar ini siap untuk ‘strike’, kami dikhabar ada sebuah lagi projek dan nampaknya akan berlaga pada hari yang sama.”
Untuk projek atau kes khas pertama, serbuan atau tangkapan akan dilakukan di rumah pegawai besar.
“Penguat kuasa beruniform besar?”
Ungu meneguk kopi dan angguk, “Serbuan dilakukan pada waktu sahur. Pasukan intip telah berada di kawasan kejiranan sejak pagi, menahan panas matahari.
“Kami perlu memastikan sasaran pulang ke kediaman, dan tidak keluar. Jadi kami bermalaman di situ.
“Sebaik lampu terpasang tanda keluarga sasaran sudah bingkas untuk bersahur, kami pun mengetuk pintu rumah.”
Saya membayangkan penguatkuasa beruniform besar muncul di pintu hadapan, berkain pelikat dengan singlet pagoda.
Akan tetapi untuk menjadikan projek ini lebih mencabar, terdapat sebuah lagi pasukan menanti di sebuah rumah sewaan tempat simpanan wang habuan rasuah tersebut.
Ini kerana penguatkuasa beruniform besar itu ternyata licik, dan mustahil wang rasuah disimpan di kediaman peribadi.
Tenang-tenang saja bersahur, ada ayam penyet, sambal hijau
Pasukan di rumah mulai menggelidah. Keluarga sasaran nampaknya tenang-tenang sahaja, bersahur, ada ayam penyet dengan sambal hijau.
Mereka makan penuh selera. Penguatkuasa Beruniform Besar juga nampak tiada resah.
Malah setelah bersahur, seisi keluarga bersembahyang jemaah.
Seusai solat, bersama-sama mereka berdoa, meraup muka dan mengaminkan keselamatan. Inti doa yang dibaca kuat serasa-rasa memerli menyindir mereka.
Isteri sasaran juga agak marah-marah. Wajahnya meruok dalam telekung Siti Khadijah yang kainnya lembut dan licin dengan renda-renda mempesonakan.
“Seolah-olah tiada apa yang berlaku?”
“Seolah-olah!” Nyaris Ungu berteriak geram.
Pun pada detik yang sama, pasukan intip di rumah sewaan tempat wang disimpan sedang khusyuk memerhatikan.
Sekitar pukul lapan pagi muncul juak sasaran: seorang penguatkuasa beruniform kecil tergesa-gesa masuk ke unit rumah sewaan.
Maka pasukan Ungu segera menyerbu.
Dalam keadaan terpinga-pinga, si juak tersebut memberi kalih dan alasan.
Sebaik digelidah, tompokan wang ditemukan. Batang tubuh penguatkuasa beruniform kecil diraba dan telefon tangan diambil.
“Apa yang menginsafkan saya ialah, kami dapati ada perhubungan antara penguatkuasa beruniform kecil dengan isteri sasaran iaitu bosnya penguatkuasa beruniform besar.
“Nampaknya isteri sasaran yang memberi amaran supaya wang USD dan Euro di rumah simpanan itu segera disorok.
“Dalam erti kata lain, bini sasaran ikut bersekongkol dan rupanya tahu kerja-kerja kotor pasangannya.”
Saya beristighfar. Dan membayangkan sang isteri dalam telekung putih yang mulus menghantar mesej kotor.
Dan di bulan puasa ia memang menginsafkan. Benarlah lelaki yang baik untuk perempuan yang baik jua.
Menjelang tengah hari Ungu menerima satu lagi arahan, projek besar kedua melibatkan seorang lagi penguatkuasa besar beruniform.
Kali ini sasaran mereka harus diperhatikan dari lobi hotel membawa ke rumahnya.
“Ia bulan Ramadan yang melelahkan. Saya masih ingat betapa tak berdayanya kami.
“Tetapi demi negara kami sanggupkan juga.”
Pengubahan wang haram
Kes kedua adalah penggubahan wang haram, dan merupakan kes umpanan.
“Kami diarah memantau sumber atau pengadu yang akan bertemu dengan sasaran di lounge sebuah hotel ternama untuk ‘berbincang’.
“Di situlah berlaku penyerahan duit.
“Penguat kuasa beruniform besar kedua didakwa menerima sejumlah wang untuk memudahkan kemasukan wang haram berpuluh juta USD ke dalam sempadan negara.
“Cerita asalnya duit itu ada di sebuah pelabuhan. Dan kami menghantar tim kedua untuk berjaga-jaga di sana.”
“Semua ini dilakukan oleh tim yang sama?”
Ungu memandang ketawa dengan senyum sinis, “Siapa lagi Dr? Pegawai SPRM bukan ramai mana pun. Ini saja orangnya.”
Selepas menerima wang sogok beberapa puluh ribu, penguat kuasa beruniform besar kedua pulang ke rumahnya untuk berbuka, dan kami mengekori.
Menunggu di hadapan rumah. Selesai berbuka, Ungu memerihalkan ada pergerakan keluar dan ada pertemuan kali kedua di lounge hotel yang sama di tengah ibu kota.
Pertemuan kali ini adalah untuk sasaran menyerahkan telefon bimbit bagi berkomunikasi dengan satu nombor baru, agar tidak dapat dijejaki.
Jadi ada empunya duit, si pengadu dan penguatkuasa beruniform besar kedua.
Sebaik sahaja penyerahan berlaku, pegawai SPRM segera menyergap.
Dalam kucar-kacir itu pelayan hotel ikut mengejar kerana yang tertangkap tidak sempat membuat pembayaran.
“Kami pegawai SPRM yang perlu membayar Dr.”
Di rumah penguatkuasa beruniform besar kedua pasukan gelidah berusaha mencari wang puluh ribuan yang bertukar tangan siang tadi.
“Puas mereka membongkar dan akhirnya menemukan dalam rak laci tudung isterinya.
“Sama seperti kes pertama. Bini dia yang menolongkan. Kami jumpakan duit dalam gulungan tudung.”
Saya mencicipi latte, membayangkan wang USD berkepuk digulung cantik dalam lipatan tudung sutera anggun dUCk dan Lilit.
“Wang itu sudah berkurang sedikit tanda sempat digunakan.”
Pasangan terkutuk
Menurut Ungu, kedua-duanya jika diperhatikan sekadar mempunyai kehidupan biasa, pun, kedua-dua pasangan tersebut terkutuk tentunya.
“Saya dapati kes dalam bulan Ramadan ini begitu menginsafkan.”
“Insaf?”
“Carilah pasangan yang dapat membetulkan kita, bukan ikut sama berbuat jenayah sekali.”
Ungu memberi nasihat.
Untuk pegawai penyiasat SPRM, Ramadan lebih dari lapar dahaga.
Untuk persediaan sesuatu operasi, mereka lebih banyak di pejabat malah tidur bersepah. Sahur dan berbuka puasa mereka ikut tunggang langgang. Tidak ada kesempatan berterawih.
Ada yang tiada daya berpuasa, khusus untuk kadet baru yang belum cukup setahun tetapi bersemangat dan berdedikasi meski pengalaman belum banyak.
“Dalam kes bertindanan yang saya perihalkan tadi ada dalam tim kami itu isterinya baru masuk hospital, ada pula seorang lain isterinya sedang sarat.
“Kami tidak berpeluang untuk membawa anak ke Bazar Ramadan. Apa pun di pejabat agensi, pegawai lain adalah umpama keluarga kedua kami.
“Sebenarnya untuk kami berbuka puasa di pejabat itu perkara zalim. Malahan di bulan puasa, yang tidak lazim ialah mereka yang pulang pada waktu pejabat biasa.”
Pertemuan kami bubar setelah itu.
Dalam perjalanan saya ke rumah entah mengapa ada paparan wajah bercahaya isteri penguatkuasa beruniform besar kedua yang seiras wajah persis Ustazah Asma Harun.
FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.