ADS
mk-logo
Berita
Dua anggota DBKL cedera bergelut dengan penjaja tak berlesen

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengesahkan dua anggota penguat kuasanya cedera ketika menjalankan tugas pemantauan di Bazar Ramadan dan Aidilfitri di Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Benteng di Kuala Lumpur, semalam.

DBKL dalam kenyataan hari ini memaklumkan insiden itu berlaku apabila anggota terbabit melaksanakan tindakan penguatkuasaan terhadap penjaja tidak berlesen di kawasan terbabit.

Susulan kejadian itu, dua laporan polis telah dibuat dan pelaku terlibat telah diserahkan kepada polis.

“Tindakan penguatkuasaan hanya dilaksanakan apabila individu terlibat tidak mengendahkan teguran dan terus beroperasi secara tidak sah.

“Keberadaan penjaja di lokasi tidak dibenarkan boleh menyebabkan kesesakan lalu lintas, menghalang laluan pejalan kaki, menimbulkan isu pengurusan sampah dan kebersihan makanan,” menurut kenyataan itu.

ADS

DBKL memandang serius insiden provokasi terbabit dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang tindakan agresif ke atas petugas yang menjalankan amanah demi kepentingan masyarakat.

Terdahulu, tular menerusi media sosial video dan gambar kejadian serta kecederaan anggota penguat kuasa itu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS