Polis melancarkan siasatan berhubung kekecohan yang berlaku semasa mesyuarat PKR Cabang Kuala Selangor pada Sabtu selepas seorang wanita membuat laporan mendakwa dia diugut semasa kejadian itu.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Azharudin Tajuddin dalam satu kenyataan mengesahkan menerima laporan itu pada Sabtu dan menyiasat kes itu mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.
“Laporan itu dibuat oleh seorang wanita yang menghadiri mesyuarat PKR Cabang Kuala Selangor.
“Pengadu menyatakan telah menerima ugutan daripada lelaki yang mengatakan 'angkat parang' kepada pengadu. Kemudiannya, lelaki tersebut datang ke arah pengadu dan membuat provokasi,” katanya.
Azharudin turut menggesa pihak yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu tampil membantu siasatan polis.
Klip video yang didakwa menunjukkan kejadian itu telah tular di media sosial.
Ini termasuk di saluran Telegram Edisi Siasat yang menyiarkan klip dengan keterangan yang mendakwa kekecohan itu berpunca daripada samseng yang diupah oleh penyandang ketua Cabang PKR Kuala Selangor Thiban Subramanian.
Thiban menafikan dakwaan itu dan telah membuat laporan polis terhadap saluran Telegram itu dan akaun media sosial lain yang berkongsi dakwaan berkenaan.
Menurut Thiban, yang memuat naik satu kenyataan video malam tadi, pergaduhan itu membabitkan sekumpulan ahli PKR yang sebelum ini cuba melakukan provokasi semasa mesyuarat itu.
“Berlaku sedikit kekecohan di luar dewan, dan mereka kemudian masuk semula ke dewan.
“Ini buatkan insiden dirakam, dirakam mereka sendiri, mungkin mereka dah merancang untuk merakam dan viralkan untuk jadi sensasi,” katanya.